SAUDARA PENGARANG,
SEJARAH tercipta di Britain apabila Rishi Sunak terpilih menjadi Perdana Menteri bukan kulit putih pertama di sana sejak 25 Oktober lalu.
Perubahan yang berlaku dalam dunia politik di Britain ini bukanlah satu perkara baharu di peringkat global. Pada 2008, rakyat Amerika Syarikat (AS) memilih Barack Obama yang berketurunan Afrika-Amerika sebagai Presiden ke-44.
Segala perubahan yang berlaku ini adalah petanda baik di mana manusia mula dinilai berdasarkan keupayaan mereka untuk memikul tugas dan tanggungjawab, bukannya berasaskan keturunan, warna kulit, bangsa dan agama.
Perubahan ini sewajarnya menjadi contoh pada semua negara termasuk Malaysia. Adalah menjadi satu harapan supaya suatu hari nanti kita dapat mengambil langkah lebih berani seperti itu.
Kita perlu memberi peluang kepada mana-mana individu yang layak dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk memegang jawatan paling utama seperti Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.
Malaysia adalah sebuah negara terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
Setiap warganegara tanpa mengira kaum perlu diberi peluang untuk menjawat jawatan tertinggi negara itu asalkan memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan syarat untuk kaum tertentu sahaja yang boleh memegang jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Perkara 40(2)(a) menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu melantik seorang Perdana Menteri.”
Majoriti
Perkara 43(1) dan (2) menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu jemaah menteri untuk menasihatinya dalam perjalanan fungsinya dan jemaah menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu (a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.”
Adalah penting supaya Perdana Menteri yang ingin dilantik mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen dan ia tidak menyatakan syarat kaum atau agama.
Oleh yang demikian, tiada halangan untuk mana-mana pihak yang berada di negara ini untuk menjadi seorang Perdana Menteri dan mengetuai negara kita. Apa yang penting, seseorang itu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi seorang Perdana Menteri dan individu terbabit diyakini mampu memimpin negara dengan baik demi rakyat dan Malaysia.
Untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri pula, tidak ada peruntukan mengenainya dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terpulang pada budi bicara Perdana Menteri untuk melantik mana-mana individu yang difikirkan sesuai.
Oleh yang demikian, tidak menjadi satu masalah besar juga untuk kita memberi ruang dan peluang pada mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Rakyat harus menghargai kepelbagaian kaum dan agama yang ada di negara ini.
Semua pihak harus melakukan perubahan minda dan jiwa mereka supaya tidak mementingkan diri atau kaum masing-masing sahaja sekiranya ingin kekal hidup aman dan harmoni serta menjadikan masyarakat dan negara kita benar-benar maju serta dihormati oleh dunia. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)