SAUDARA PENGARANG,
MANIFESTO Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang baru dilancarkan sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak menyebut secara jelas hasrat mengurangkan kebergantungan serius negara kepada pekerja asing.
Situasi ini berbeza sekali ketika BN dan PH melancarkan manifesto masing-masing ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Manifesto PH ketika itu, berjanji untuk mengurangkan dua juta pekerja asing bagi mengatasi lambakan golongan itu dalam negara.
Dalam manifesto itu, PH juga berjanji untuk memperkenalkan dasar dan peraturan agar pekerja tempatan diutamakan oleh majikan. Bilangan pekerja asing akan dikurangkan secara berperingkat dan menteri PH akan dilarang memberi surat sokongan untuk mengambil pekerja asing.
Manifesto BN pada PRU14 pula memberi komitmen untuk menyediakan sektor pekerjaan meluas kepada pekerja tempatan melalui usaha mengurangkan kebergantungan pekerja asing kepada 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja dalam negara.
BN juga berjanji untuk mencipta tiga juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun. Pada masa sama, BN berjanji kepentingan dan kebajikan pekerja juga akan dijaga dengan mensasarkan untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan.
Memang diakui keperluan kepada pekerja asing adalah berikutan situasi sekarang agak berbeza disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak 2020. Ia menyebabkan penutupan sempadan negara yang menyaksikan ramai pekerja asing pulang ke negara asing-asing dan pekerja baharu tidak dapat dibawa masuk.
Kitab Suci
Keadaan ini memberi kesan kepada sektor perladangan, pembinaan dan perindustrian serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang selama ini terlalu bergantung kepada pekerja asing untuk bangkit semula pasca pandemik.
Namun, seharusnya parti yang berhasrat untuk mengambil alih pentadbiran negara untuk lima tahun akan datang sedar bahawa pergantungan kepada pekerja asing memberi kesan kepada daya saing negara untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
Ekonomi berintensifkan buruh hanya sesuai buat Indonesia dan Vietnam yang mempunyai jumlah penduduk berkali ganda lebih ramai dari Malaysia.
Selain memberi kesan kepada kadar upah yang sukar untuk naik sesuai dengan kos sara hidup semasa, kebanjiran pekerja asing termasuk mereka yang enggan pulang ke negara asal sebaliknya kekal di Malaysia sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) memberi kesan kepada rakyat negara ini daripada segi persaingan peluang kerja, berniaga, tempat tinggal dan lain-lain lagi.
Walaupun manifesto bukan kitab suci dan parti yang menang dalam pilihan raya tidak terikat untuk melaksanakannya, setidak-tidaknya ia boleh menjadi panduan dalam menetapkan dasar baharu negara lima tahun akan datang terutama dalam aspek pengurusan pekerja asing yang lebih menjamin nasib pekerja tempatan. – UTUSAN
BEKAS BURUH
Kuala Lumpur