Malaysia perlu kembali jadi pemimpin global - Utusan Malaysia

Malaysia perlu kembali jadi pemimpin global

PENGUNDI mahukan sebuah kerajaan yang cakna dengan isu rakyat marhaen terutamanya melibatkan kenaikan harga barang yang semakin tidak terkawal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK peralihan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) pada 2018, bermulalah detik suram negara ini sebagai pejuang suara hati nurani umat Islam di peringkat antarabangsa.

Antaranya pembatalan pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Ini menyebabkan nama Malaysia semakin suram dan muram di persada global.

Baru-baru ini, kita sekali lagi dikejutkan dengan pendirian negara yang memilih untuk berkecuali terhadap usul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ingin membahaskan isu wilayah Xinjiang di China dan penindasan terhadap etnik Uighur.

Di saat umat Islam Uighur dambakan pembelaan, Malaysia memilih untuk berdiam diri. Kelantangan suara Malaysia tidak lagi membelah kesunyian kepimpinan dunia Arab-Muslim yang suatu ketika dahulu berjaya meletakkan negara kita sebagai pemimpin sekali gus destinasi pelaburan dunia Islam.

Apa yang lebih dikhuatirkan, ketidakstabilan politik dan senario domestik yang tidak terjamin ini bakal mengakibatkan Malaysia kehilangan mahkotanya sebagai pemimpin industri halal global yang bernilai hampir AS$1.3 trilion (RM6.14 trilion).

Justeru, sejajar dengan gelombang di seluruh negara yang mengidamkan Malaysia untuk kembali menjadi jaguh di peringkat antarabangsa serta menyambung kembali apa yang tergendala sejak 2018, rakyat haruslah memilih kepemimpinan terbaik.

Kepemimpinan ini bukan sahaja dapat menjamin kestabilan malah terus memperjuangkan suara hati nurani rakyat Malaysia di persada antarabangsa. Sejarah juga mengajar kita bahawa membuat pilihan salah membawa kepada kemusnahan. – UTUSAN

IZZUAN KAYAT, Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya