SAUDARA PENGARANG,
SEMUA parti yang bertanding gagal mendapat majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana terlalu banyak parti yang bertanding. Keputusan tersebut sudah dijangka oleh pengkaji politik di negara ini.
Ironinya negara berbilang parti bermasalah untuk menubuhkan kerajaan dengan mudah. Parti yang banyak, menyukarkan pengundi membuat pilihan selain memecah undi dan menipiskan peluang setiap parti untuk menang majoriti.
Bagaimanapun, kita mendapat sinar baharu apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas enam hari perundingan bagi mewujudkan gabungan kerajaan.
PRU15 kali ini luar biasa. Agihan kerusi antara tiga blok utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) memerlukan dua daripada tiga blok bergabung untuk membentuk kerajaan gabungan. Terdapat cadangan kerajaan perpaduan.
Kerajaan perpaduan bermaksud kerajaan yang merangkumi semua parti gabungan. Semua parti adalah kerajaan, tanpa pembangkang. Sekiranya pilihan ini tidak berjaya, PRU semula perlu diadakan, hingga wujud kerajaan yang ada majoriti. Perkara ini mustahil dilakukan memandangkan ia akan melibatkan kos yang besar.
Malaysia diramal mengalami kegawatan ekonomi pada 2023. Justeru, sebagai langkah siap siaga, rakyat menanti kebijaksanaan Perdana Menteri baharu yang mempunyai pengalaman luas dalam tatacara kewangan di peringkat serantau dan antarabangsa bagi menyelesai kemelut politik ini dan membawa ekonomi negara tercinta kembali stabil dan makmur.
Diharapkan rakyat akan ada pekerjaan, makanan, tempat tinggal, pendidikan, kuasa beli serta kemudahan kesihatan yang mencukupi. Tahniah dan selamat datang ke Putrajaya semula kepada Anwar atas pelantikan sebagai ketua kerajaan yang baharu pasca PRU15.
Kepada bekas-bekas Perdana Menteri, diucapkan terima kasih atas usaha membangunkan Malaysia pada era mereka dengan idea-idea bernas yang dinamik dan unggul. – UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya