Kecewa masyarakat kita semakin kasar - Utusan Malaysia

Kecewa masyarakat kita semakin kasar

SIKAP tidak beradab begitu terserlah dalam media sosial di mana budaya memfitnah dan menyebar berita palsu begitu berleluasa. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini sebuah portal berita melaporkan kenyataan tidak beradab ketika kempen sebuah gabungan parti politik apabila menyamakan beberapa individu yang pernah menjawat jawatan menteri sebagai buaya, menteri tak berguna dan menyifatkan mereka yang tidak dicalonkan semula sebagai telah dipancung secara berjemaah.

Antara perkara penting bagi sebuah negara yang mahu mencapai kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat ialah membina kehidupan yang beradab.

Istilah adab mengandungi pengertian kehalusan budi dan ia mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kekuatan akal, hati dan jiwa manusia. Kamus Dewan Edisi Keempat menyebut adab bermaksud tingkah laku serta tutur kata halus (sopan), budi bahasa dan budi pekerti yang halus dan mulia.

Ia melambangkan cara seseorang itu berkelakuan dalam pergaulan atau hidup bermasyarakat. Dalam Islam, semakin tinggi adab dan akhlak seseorang hamba itu maka semakin tinggi darjatnya di sisi Allah SWT.

Menurut ilmuwan Islam, Profesor Naquib al-Attas, Islam melihat adab adalah pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang dalam susunan berperingkat martabat dan darjat.

Contohnya, hubungan anak dengan ibu bapa mempunyai susunan adabnya, hubungan murid dengan guru juga mempunyai adabnya. Begitu juga hubungan rakyat dan pemimpin juga mempunyai adab tertentu.

Dalam pada itu, prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan sangat menekankan kesantunan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni bagi mewujudkan masyarakat yang sejahtera, aman dan harmoni.

Berjasa

Warganegara yang beradab pada negaranya tahu menghormati pemimpin dan tidak mengkritiknya secara tidak beradab, apatah lagi menghinanya sesuka hati.

Mereka tahu menghormati pemimpin negara yang telah banyak berjasa. Malangnya, hari ini kehidupan berabad semakin terhakis dalam masyarakat kita.

Kehilangan hidup beradab ini menjadikan generasi kita semakin kasar dan bersikap kurang ajar. Hari ini, sikap tidak beradab begitu terserlah dalam media sosial di mana budaya memfitnah, mencarut, mengutuk, memaki hamun dan menyebar berita palsu begitu berleluasa.

Sikap untuk berlaku adil terhadap orang lain sudah lenyap dan yang terserlah ialah sikap kejam dalam tutur bicara. Kehidupan yang semakin kehilangan adab ini menimbulkan pelbagai masalah dan penyakit sosial dalam masyarakat.

Jika masalah ini gagal dibendung dan diubati, maka kita bimbang masyarakat akan dipenuhi dengan insan-insan yang buruk akhlak, kasar budi bahasa sehingga mengheret masyarakat ke jurang kebinasaan moral yang boleh membinasakan bangsa dan negara.

Justeru, perkembangan tidak sihat ini memerlukan kita segera membina kembali karakter generasi beradab berasaskan petunjuk agama, nilai-nilai budaya bangsa dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

Proses pendidikan sama ada di peringkat keluarga mahupun institusi pendidikan formal perlu dijadikan saluran terbaik untuk melahirkan insan beradab.

Tiada gunanya kita berbangga dengan kemodenan yang dicapai jika di sebalik kemajuan itu, keadaan hidup masyarakat kita jauh daripada kehidupan beradab dan berakhlak. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya