Jangan takut rugi bila berzakat

Jangan takut rugi bila berzakat

AGIHAN wang zakat dilakukan secara efisien dan efektif supaya hak-hak para asnaf terjamin dan terbela.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SALAH satu amalan yang dapat menyelamatkan kita daripada seksaan tidak terperi sakitnya adalah zakat. Bahkan amalan ini amatlah besar fadilatnya sehinggakan di dunia lagi seseorang itu dapat menikmati kebaikan hasil daripada zakat ditunaikannya.

Zakat merupakan rukun Islam yang bermatlamat mewujudkan keseimbangan sosial. Menunaikan zakat dan membelanjakan harta untuk tujuan kemaslahatan akan digantikan dengan nikmat yang lebih baik.

Menunaikan zakat tidak akan menyebabkan seseorang menjadi miskin atau berkurang hartanya kerana ibadah tersebut mengundang keberkatan.

Berkat suatu nikmat yang tidak dapat dilihat atau disentuh tetapi dapat dirasai dan dinikmati kesannya dalam kehidupan seharian. Allah SWT meluaskan rezeki dan memberikan keberkatan kepada hamba-Nya dalam pelbagai cara. Malah, mereka bukan sahaja mendapat keberkatan di dunia tetapi juga kebahagiaan di akhirat.

Dalam menanggung amanah zakat ini, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Lembaga Zakat (LZ) sentiasa berusaha menyampaikan ilmu dan kefahaman agar ibadah zakat dapat ditunaikan dengan betul dan sempurna. Ia dilakukan dengan meningkatkan sebaran promosi dan dakwah kewajipan berzakat kepada masyarakat supaya dapat memusatkan seluruh bayaran zakat orang ramai secara sistematik dan berintegiriti.

Melalui operasi agihan pula, MAIN dan LZ sentiasa berusaha mengagihkan wang zakat secara efisien dan efektif supaya hak-hak para asnaf terjamin dan terbela. Pelbagai skim agihan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan utama golongan fakir dan miskin.

Sehingga kini kehidupan golongan asnaf terbela melalui program pembangunan misalnya bantuan kewangan bulanan, sewa rumah, baik pulih rumah, menanggung kos perubatan, bantuan pendidikan rendah, menengah dan tinggi, dermasiswa, bimbingan dan perlindungan kepada yang ditimpa masalah sosial, menganjurkan kelas-kelas pendidikan mualaf, bantuan modal perniagaan, membiayai atau mendanai usaha dakwah serta banyak lagi.

Kesemua bentuk skim agihan ini mencerminkan komitmen untuk memastikan kelangsungan hidup asnaf adalah berterusan dalam keadaan baik dan selesa.

Umat Islam yang layak membayar cukai pendapatan amat dituntut menunaikan zakat pendapatan. Dalam kalangan yang berpendapatan tetap, gunakanlah kemudahan menunaikan zakat melalui potongan gaji berjadual. Jumlah zakat yang dibayar layak mendapat rebat (atau potongan) penuh atas cukai pendapatan yang dikenakan.

Jangan pernah berasa rugi ketika menunaikan zakat dan jangan pernah sesekali melupakan ibadah zakat kerana itulah sebesar-besar amalan harta dan sebaik-baik jalan menuju kepada kebaikan dan rahmat daripada-Nya.-UTUSAN

MOHD. YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya