Jangan sampai NGO ganti wakil rakyat - Utusan Malaysia

Jangan sampai NGO ganti wakil rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik tulisan penganalisis sosiopolitik, Datuk Sayuti Mukhtar dalam ruangan Rencana, Utusan Malaysia pada 25 Oktober lalu bertajuk Jangan ahli politik klisekan ungkapan ‘demi rakyat.’

Beliau menulis, ada pemimpin yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat masih terus ingin bertanding dengan alasan demi rakyat, seolah-olah tidak ada lagi mana-mana individu yang layak di kawasan berkenaan.

Mengulas isu ini, saya bersetuju ungkapan demi rakyat biasanya akan kedengaran apabila sesebuah parti berkempen sama ada ketika pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU) yang sebenarnya mudah disebut tetapi sukar untuk dilaksanakan.

Seseorang calon wakil rakyat sebenarnya sudah mengikat dirinya dengan pelbagai janji apabila menuturkan ungkapan demi rakyat dan apabila mencapai kemenangan nanti, janji itu mestilah dikotakan.

Ada sesetengah calon yang mengungkapnya tetapi akhirnya bukan demi rakyat yang diperjuangkan, sebaliknya keuntungan diri sendiri diutamakan.

Wakil rakyat mesti sanggup berkorban apa sahaja demi rakyat yang diwakilinya tanpa mengira waktu dan suasana, tidak memilih bulu dan bersedia menempuh pelbagai kesukaran dan rintangan bersama rakyat yang diwakili, umpama membujur lalu melintang patah.

Tidak sesekali menyembunyikan atau melarikan diri sewaktu rakyat dalam kesusahan seperti ketika banjir bahkan berada bersama mereka sepanjang masa dan sanggup bersusah payah sama seperti dialami mangsa.

Bibir

Ungkapan demi rakyat dilihat di bibir sahaja kerana sesetengah wakil rakyat tidak kelihatan membantu mangsa dan bersama-sama berada di pusat pemindahan sementara ketika banjir sedangkan kehadiran mereka amat diperlukan bagi memastikan kelancaran penghantaran pasukan penyelamat serta bantuan lain.

Selain itu, pusat khidmat wakil rakyat yang berada di setiap daerah hendaklah memberikan perkhidmatan sewajarnya, bukan sekadar hidup segan mati tidak mahu.

Apabila penduduk ingin mendapatkan khidmat wakil rakyat, yang ada hanya kerani dan perlu menunggu berhari-hari serta mungkin berminggu-minggu hanya untuk mendapatkan tanda tangan.

Kalau ditanya kerani, jawapannya wakil rakyat sibuk dengan urusan perniagaan di Kuala Lumpur dan pelbagai urusan lain. Seolah-olah kerja sebagai wakil rakyat itu hanya pekerjaan sampingan.

Kalau bernasib baik, dapat berjumpa wakil rakyat tersebut tetapi selalu juga orang kampung diperlekeh kerana meminta wang untuk membiayai persekolahan anak dan pulang tanpa mendapat sesen pun.

Ada wakil rakyat menunjukkan diri pada bulan pertama apabila partinya menang tetapi tidak kelihatan sehinggalah beliau tidak lagi dicalonkan lima tahun kemudian.

Wakil rakyat diharapkan dapat menjadi tali penghubung dan perantaraan antara penduduk dan pemerintah, namun ungkapan demi rakyat itu tidak menjadi kenyataan dan jadilah sesuatu kawasan itu seperti tiada wakil rakyat dilantik.

Kita tidak mahu nanti, peranan wakil rakyat diambil alih oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terpaksa turun padang membantu rakyat di sesuatu kawasan. Tidakkah ini akan memalukan wakil rakyat di kawasan berkenaan? – UTUSAN

PEMILIH BERDAFTAR, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya