SAUDARA PENGARANG,
KEMPEN politik adalah salah satu elemen penting dalam proses pilihan raya di negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi termasuk Malaysia.
Proses berkempen adalah segmen penting bagi memberi ruang untuk rakyat mengenali reputasi calon atau parti serta memahami idea-idea pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang ingin diketengahkan atau ditawarkan.
Semua yang terbabit dalam aktiviti berkempen termasuk melalui media sosial mesti akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Antara perkara-perkara penting perlu diikuti ialah tidak menggunakan tingkah laku atau peribadi seseorang sebagai bahan untuk berkempen dan mengundi; tidak melakukan perbuatan menyogok atau menjamu sesiapa sahaja dengan tujuan mempengaruhi orang memberi undi atau tidak memberi undi calon tertentu; tidak rasuah sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk mempengaruhi undi; tidak menggunakan kekerasan, halangan atau paksaan untuk mengundi; dan beberapa perbuatan lain yang dianggap tidak beretika.
Kita juga tidak mahu ruang berkempen yang sepatutnya diisi dengan ceramah-ceramah dan penerangan-penerangan politik yang biasanya berkaitan janji-janji dan idea-idea pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang mahu ditawarkan kepada rakyat dipenuhi dengan hamburan kata-kata nista, kesat, caci maki, fitnah dan menghasut yang boleh mengeruhkan masyarakat serta menyemai rasa kebencian dalam kalangan masyarakat terhadap kelompok atau individu tertentu.
Diharap juga pemimpin-pemimpin politik beragama Islam tidak terlajak mulut sehingga membangkitakan isu ‘takfir’ (kafir-mengkafir) atau menyesatkan kelompok atau individu tertentu yang dianggap sebagai musuh politik.-UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas