SAUDARA PENGARANG,
KEMARAAN Barisan Nasional (BN) ibarat awan gelap yang hanya menanti masa menurunkan hujan lebat untuk menenggelamkan kita semua. Kemaraan ini hampir mustahil untuk dibendung lagi.
Parit-parit untuk mengalirkan air hujan agar banjir dapat dielakkan, terus tersumbat dan gagal dibersihkan. Kolam-kolam yang sepatutnya digunakan untuk menadah air hujan agar tidak banjir, semakin cetek dan tugas mendalamkannya terbengkalai.
Saya harap analogi ini dapat memberi gambaran kepada pembaca betapa banjir besar, iaitu kemenangan BN ini agak hampir mustahil dapat dielakkan. Saya percaya ramai yang sudah menyedari hal ini, lebih-lebih lagi para pengundi.
Mereka sedang memerhatikan gelagat blok-blok politik yang terus angkuh untuk menewaskan BN. Jemputan supaya Gerakan Tanah Air (GTA), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama diperlekeh oleh semua pihak.
PN dan PH ketawa terbahak-bahak kepada pelawaan bekerjasama ini. Namun, pihak yang sangat gembira dengan situasi itu ialah BN. Merekalah yang akan mendapat untung besar kerana blok-blok pembangkang ini tidak mampu bekerjasama lagi.
PN dan PH ibarat longkang yang dibiarkan tersumbat agar banjir akan lebih cepat menenggelamkan kita semua. Awan semakin mendung dan berat isinya. Hanya menunggu masa untuk memuntahkan hujan dan menenggelamkan kita semua.
Justeru, apa pilihan yang kita ada? Bagi saya, jika ini yang berlaku, biarlah BN menang dan penjenayah dibebaskan untuk kembali ke tampuk kuasa. Apabila ini berlaku, BN akan menghancurkan ekonomi negara ini.
Maka, biarlah bah melanda dan meranapkan warisan yang kita bina ini. Kita reda jika itu pilihan anda semua. Hanya dengan hancurnya ekonomi negara ini, mungkin rakyat akan sedar. – UTUSAN
MAHDZIR IBRAHIM, Kuala Lumpur