SAUDARA PENGARANG,
TIDAK lama lagi kerajaan yang baharu akan dibentuk di Malaysia. Kerajaan mana pun yang memerintah harus memberi fokus bagi membangunkan bidang sains dan teknologi yang membawa kebaikan.
Misalnya, abad ke-10 hingga ke-16 memperlihatkan umat Islam menghasilkan inovasi dan reka cipta bertunjangkan ilmu sains dan teknologi. Menariknya, pembabitan ilmuwan Muslim adalah semata-mata mahu menjadikan produk serta ilmu itu sebagai amal jariah untuk kesejahteraan ummah.
Al-Jazari misalnya, ketika era keemasan pemerintahan Islam di Andalusia, beliau berjaya menghasilkan karya kejuruteraan mekanikal seperti kincir air.
Natijahnya, karya sains dan teknologi beliau banyak membantu masyarakat dalam sektor pertanian dan ia terus ditambah baik sehingga kini. Itulah yang membuktikan produk umat Islam lebih terarah kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat.
Bagaimanapun, apabila sains dan teknologi ‘dicedok’ oleh Barat, keluhuran dan kemurnian beralih arah kepada penghasilan produk yang menjurus kepada kemusnahan.
Sebagai contoh, pengeboman tentera Amerika Syarikat ke atas bandar Hiroshima pada 6 Ogos 1945 disusuli tiga hari kemudian di Nagasaki, Jepun meranapkan sama sekali kehidupan manusia di dua bandar berkenaan.
Bom atom yang buat pertama kali digunakan membuktikan akal minda manusia genius dalam bidang sains dan teknologi sekiranya tidak berpaksikan nilai kemanusiaan akan terhasillah kemusnahan seperti bom atom itu.
Sekiranya pengguna sains dan teknologi memiliki jiwa beragama dan iman yang kukuh, mustahil berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaannya.
Sebab itulah pada zaman awal keemasan umat Islam terdahulu, tidak timbul kerosakan disebabkan tangan manusia. Saintis menyedari mereka akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT dalam setiap perbuatan di dunia ini. – UTUSAN
ANIM ZALINA AZIZAN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)