SAUDARA PENGARANG,
EKOSISTEM Kondusif Sektor Awam (EKSA) diperkenalkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada Januari 2014. Ia kemudiannya ditambah baik dengan penambahan beberapa elemen-elemen baharu seperti imej korporat, kreativiti dan inovasi, amalan hijau, persekitaran kondusif dan kepelbagaian agensi.
Matlamatnya bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan. EKSA banyak berkait rapat dengan aspek alam bina. Alam bina terbentuk daripada struktur dan ciri fizikal dan ia mencipta hubungan antara ruangan fizikal dengan kesan sosial.
Pelaksanaan EKSA memerlukan perancangan yang teliti terutama aspek pengurusan fasiliti yang melibatkan ruang, infrastruktur, sumber manusia dan organisasi. Pegawai bertanggungjawab perlu mengenal pasti lokasi dan zon yang perlu diuruskan seperti pejabat, bilik mesyuarat, stor, bengkel termasuk ruang guna sama seperti pantri dan tandas.
Selain itu, peralatan pejabat seperti meja, kabinet fail, komputer dan pencetak. EKSA juga mengambil kira penyediaan kemudahan orang kurang upaya (OKU). Susun atur ruang dan peralatan perlu berdasarkan keperluan kerja seharian agar nampak kemas dan memberi imej korporat.
Operasi fail dokumen yang teratur dapat menjimatkan masa kerja. Penggunaan sistem masuk dahulu, keluar dahulu di mana barangan yang mempunyai tarikh luput dan stok lama digunakan terlebih dahulu agar dapat mengelakkan pembaziran sumber.
EKSA juga menekankan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan sihat selari dengan kandungan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA). Pengurusan aset menjadi lebih efisien terutama dalam aspek penyelenggaraan.
Penyediaan inventori dapat memastikan semua peralatan berfungsi dengan baik dan selamat digunakan. Jika berlaku sesuatu kerosakan, tindakan proaktif akan segera diambil. Justeru, kos penyelenggaraan dan kerosakan dapat dikurangkan.
EKSA turut menekankan aspek kebersihan persekitaran termasuk peralatan yang digunakan. Amalan hijau yang dilaksanakan dengan memastikan semua suis alatan elektrik perlu ditutup selepas digunakan agar tiada pembaziran tenaga.
Pemantauan secara berterusan perlu dilakukan bagi menilai keberkesanan pelaksanaan EKSA. Kejayaan EKSA banyak bergantung kepada kerjasama, tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi di semua peringkat. Pelaksanaan EKSA pastinya dapat memberi perubahan dan faedah yang besar kepada pemegang taruh yang terlibat. – UTUSAN
MORNI KASPIN
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam