Beri merit pelajar IPT mengundi - Utusan Malaysia

Beri merit pelajar IPT mengundi

PELAJAR universiti tiada alasan untuk tidak mengundi pada PRU15 lepas kerana mereka telah diberi pelepasan selama lima hari untuk berbuat demikian. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMUA pelajar universiti tidak mempunyai alasan untuk tidak mengundi pada Sabtu lalu kerana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju supaya semua institusi pengajian tinggi (IPT) memberi pelepasan selama lima hari kepada mereka untuk pulang mengundi dari 17 hingga 21 November.

Langkah itu adalah bagi menyokong Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Undi18) yang sudah diwartakan dan berkuat kuasa 15 Disember tahun lalu bagi membolehkan individu berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih.

Langkah itu selaras dengan amalan demokrasi di seluruh dunia yang mana banyak negara maju seperti United Kingdom dan Jerman menurunkan had usia pengundi kepada 18 tahun.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini merupakan sepertiga daripada jumlah populasi di Malaysia. KPT turut merekodkan seramai 452,559 orang atau 38 peratus daripada 1.2 juta penuntut IPT di bawah seliaannya berumur antara 18 hingga 20 tahun selepas Undi18 dilaksanakan.

Jumlah itu mempunyai pengaruh besar bagi mencorak keputusan PRU15 yang sudah pun kita ketahui. Pastinya perubahan besar ini memberi suntikan semangat kepada golongan muda dalam menzahirkan minat untuk mengundi.

Mereka berpeluang mengambil bahagian dalam mencorak politik sebuah negara demokrasi. Mereka kini adalah sebagai pemegang taruh yang signi­fikan dalam memacu pembangunan negara.

Progresif

Sudah kelihatan ada anak muda yang berani menampilkan diri dalam PRU15. Sebagai rekod, Peggy Chaw Zhi Ting baru berusia 23 tahun turut sama mencalonkan diri di kerusi Parlimen Tenom, Sabah.

Inilah saat yang dinantikan oleh golongan muda dalam membantu menentukan masa depan negara yang lebih baik dan progresif. Impak positif dengan pelaksanaan Undi18 telah memupuk rasa bertanggungjawab dan menyemai sikap peka kepada perkembangan dunia politik dalam kalangan golongan muda.

Justeru, tindakan proaktif KPT membenarkan siswazah pulang ke kampung dua hari lebih awal sebelum hari mengundi adalah satu sokongan yang wajar diteladani.

Sebelum itu, pindaan dibuat pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2019 yang membuang Seksyen 15(2)(c) merujuk kepada halangan untuk pelajar universiti terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus.

Pelajar sewajarnya diberi sokongan dan bimbingan untuk menceburkan diri dalam politik bermula di kampus, seterusnya ke medan sebenar berdepan dengan masyarakat.

Adalah disarankan kepada pengurusan setiap universiti untuk memberikan merit (penghargaan) tertentu kepada pelajar yang turun mengundi pada PRU15.

Cadangan ini bagi menggalakkan pelajar ambil peduli dengan perkembangan politik negara. Mereka harus memainkan peranan setelah ruang dan peluang diberikan sepenuhnya dalam menyumbang kepada pembentukan kerajaan.

Merit yang diberikan dapat melatih mereka menjadi generasi pelapis yang akan memimpin, mengurus dan membangunkan negara kelak. – UTUSAN

RAZMAH MAHMOD & ROZAINUN MAHMOD, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya