Baik kaji guna kaedah pengundian secara elektronik - Utusan Malaysia

Baik kaji guna kaedah pengundian secara elektronik

MENGUNDI secara elektronik telah diaplikasikan dengan meluas dalam pelbagai proses pengundian berskala kecil seperti pemilihan ahli majlis perwakilan pelajar di universiti. – IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAEDAH baharu dalam mengadakan pilihan raya umum (PRU) yang sering dicanang sejak beberapa tahun ini adalah memperkenalkan pengundian secara elektronik (e-undi). Ia adalah kaedah membuang atau mengira undi yang dilaksanakan secara berkomputer, sama ada dalam atau luar talian.

Ia telah dilaksanakan secara meluas di peringkat global dalam pelbagai proses pengundian berskala kecil seperti pemilihan ahli majlis tempatan, pimpinan peringkat negeri, perwakilan pelajar di universiti dan pemilihan jawatankuasa parti politik.

Namun, pada skala lebih besar, hanya beberapa negara seperti Estonia, Filipina, India dan Brazil yang berani mengaplikasi teknologi e-undi ini sepenuhnya dalam PRU mereka.

Di Malaysia, usaha ke arah pelaksanaan e-undi telah banyak dibincangkan oleh kerajaan seiring dengan komitmen transformasi digital. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pernah mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pengundian dalam talian bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Sepintas lalu, e-undi mempunyai banyak kelebihan seperti meningkatkan kecekapan semasa proses pengundian, menjimatkan kos untuk menyediakan kertas undi dan tempat mengundi serta mengurangkan kesilapan manusia dalam pengiraan.

Selain itu, kaedah e-undi dapat menggalakkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka seperti dibuktikan di India apabila teknologi itu berjaya meningkatkan peratusan keluar mengundi sehingga 67 peratus, satu angka yang sangat besar bagi negara dengan 900 juta pengundi.

Rahsia

Bagaimanapun, di sebalik kelebihan dinyatakan, e-undi turut disulami kegusaran berkaitan kebolehpercayaan dan tahap kerahsiaan. Ia disokong oleh pakar sains komputer dari Perancis, Dr. Steve Kremer yang menyatakan sifat e-undi adalah berbeza dengan aplikasi elektronik lain seperti e-perbankan.

Sekiranya maklumat akaun perbankan pengguna digodam atau diubah, ia hanya memberi kesan kepada akaun pengguna terbabit dan tidak kepada akaun lain. Berbeza halnya dengan e-undi yang mana perubahan satu undi yang digodam akan memberi kesan terhadap jumlah keseluruhan undi.

Walau apa jua isu yang timbul, pasti akan muncul teknologi baharu untuk memberi penyelesaian. Antaranya adalah teknologi blockchain atas faktor datanya yang berantai antara blok sebelum dan selepas serta tidak berpusat.

Faktor ini menjadikannya hampir mustahil untuk diubah suai oleh pihak lain, sekali gus menjamin kerahsiaan dan ketelusan data yang menjadi elemen terpenting sebuah pilihan raya.

Dicadangkan, SPR menguji sistem e-undi pada skala lebih kecil seperti pilihan raya kecil (PRK). Sebagaimana sistem sedia ada, e-undi perlu terlebih dahulu dibuktikan boleh dipercayai oleh pengundi sebelum dilaksanakan. – UTUSAN

DR. AHMAD WIRAPUTRA SELAMAT
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya