19 November mungkin tarikh Malaysia bergoncang - Utusan Malaysia

19 November mungkin tarikh Malaysia bergoncang

GOLONGAN muda perlu menggunakan PRU15 untuk menghukum pemimpin dan parti politik yang tidak mengambil peduli nasib mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA hakikatnya apabila had usia mengundi diturunkan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun, ia meningkatkan pembabitan golongan muda dalam penyertaan politik di negara ini.

Mengikut perangkaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 10.6 juta pengundi berusia belia antara 18 hingga 39 tahun akan turun mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Seramai 1.3 juta pengundi berusia antara 18-20 tahun pula akan mengundi daripada jumlah terbabit.

Semua anak muda pelbagai bangsa wajib keluar mengundi bagi menentukan masa depan negara yang lebih terjamin. Anak muda perlu tunjukkan keberanian dan kematangan dalam menentukan calon pemimpin yang diyakini mampu membawa anjakan paradigma kemajuan negara.

Jangan tertidur dibuai mimpi dan membiarkan negara terhumban dalam keadaan tidak stabil dan makmur. Undi anak muda akan menjadi penentu kepada percaturan politik negara.

Jika alpa dan tidak cakna maka golongan belia membuktikan negara kita tidak mempunyai suara anak-anak muda yang mampu menggetarkan dunia. Dunia sedang memperhatikan kebijaksanaan anak-anak muda Malaysia untuk bangkit mempertahankan hak dan suara mereka.

Ayuh anak-anak muda semua kaum daripada pelbagai latar di desa mahupun di kota, usahlah dibiarkan hak anda untuk mengundi menjadi sia-sia. Ambil peluang keluar mengundi dan pilih calon yang akan mewariskan kebahagiaan kepada anda semua dengan kemakmuran hidup dan menjanjikan masa depan yang cerah.

PRU15 adalah penentu kebangkitan anak-anak muda memperjuangkan masa depan mereka dan menghukum pemimpin dan parti politik yang tidak mengambil peduli terhadap nasib dan masa depan anda semua.

Goncang

Ayuh anak-anak muda semua kaum daripada pelbagai latar akademik tidak kira di mana berada, jika anda mahasiswa inilah masanya anda buktikan kematangan melalui undi dengan memilih berdasarkan ilmu yang dipelajari daripada kursus sejarah Malaysia, hubungan etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan segala pengetahuan yang dicurahkan oleh pensyarah.

Jika anda bukan mahasiswa, pastikan suara sebagai anak muda bangkit seirama dengan tekad untuk memilih calon berwibawa yang mampu berjuang terhadap nasib dan masa depan anda. Anak-anak muda inginkan kepimpinan yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju kesejahteraan golongan belia.

Ayuh anak-anak muda Malaysia, keluarlah mengundi dengan penuh tekad untuk membina negara Malaysia yang anda impikan. Kestabilan dan kemakmuran negara bergantung kepada anda semua kerana suara anak-anak muda adalah suara keramat.

Runtuhnya negara kerana hilangnya suara anak-anak muda. Teruskan berjuang anak-anak muda dalam PRU 15 dan pilih pemimpin yang dekat dengan jiwa anda. Negara memerlukan pengundi belia dan pemimpin-pemimpin yang mempunyai jiwa muda dan berani untuk membawa agenda perubahan terhadap nasib anak-anak muda Malaysia.

Memetik kata-kata Presiden pertama Indonesia, Sukarno “Berikan aku 10 pemuda, akan ku goncangkan dunia”. Ayuh anak-anak muda pelbagai kaum, kita goncangkan Malaysia dengan semangat keberanian dan kebijaksanaan melakukan perubahan terhadap nasib anak-anak muda demi masa depan yang lebih cemerlang.

Anak-anak muda Malaysia tidak miskin ilmu dan tidak alpa pengetahuan sejarah. Bangun dan pertahankan hak anda semua. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya