SAUDARA PENGARANG,
ISU guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Mohamed Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli dianggap selesai setelah Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan di Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan dia tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan berikutan kritikan terbuka terhadap sistem pendidikan dan sukatan pelajaran.
Saya rasa apa yang diluahkan Cikgu Fadli mengenai silibus pembelajaran sekolah di negara ini tidak salah. Kalaulah saya menjadi Menteri Pendidikan, orang macam ini saya tempatkan di KPM di Putrajaya kerana ‘budak’ ini banyak idea.
Isu beg berat, pelajar terlalu ramai dalam kelas sudah lama dibangkitkan. Pi mai pi mai, tang tu juga. Saya tak tahu apa masalahnya. Sudah ada peti berkunci yang disediakan pihak sekolah. Tetapi isu beg berat tetap berlaku ataupun pelajar perlu bawa peranti canggih seperti iPad ke sekolah, baru isu ini akan selesai.
Dalam sebuah kelas, jika murid terlalu ramai, saya rasa tumpuan guru untuk memberi pemahaman jitu dan berkesan pada mereka agak susah. Semasa saya belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi pada 1990, pelajar kelas hanya 14 orang.
Kami cukup seronok belajar kerana guru boleh memberi tumpuan 100 peratus dan mereka tidak terbeban dengan jumlah pelajar yang terlalu ramai. Bayangkan, satu kelas sekarang ada 33 pelajar, pening rasanya guru hendak menarik perhatian mereka semasa mengajar.
Saya rasa banyak lagi perkara perlu diberi perhatian KPM seperti isu makanan berkhasiat di kantin sekolah. Biarlah isu guru ini diselesaikan terus, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak (kecamuk kata orang Pulau Pinang). – UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH, Kepala Batas, Pulau Pinang