SAUDARA PENGARANG,
DALAM mengenang Nabi Muhammad SAW, sudah pasti pelbagai aspek yang boleh dijadikan sebagai qudwah dan ikutan. Pelbagai aspek tersebut meliputi keperibadian dan akhlak baginda, kepimpinan, kemasyarakatan, muamalat harian, mendepani musuh, toleransi dengan orang bukan Islam serta pelbagai kaum dan sebagainya.
Jadi, dalam menghayati keperibadian baginda pada masa kini, antara aspek yang boleh dilihat dan dijadikan sebagai contoh adalah berkaitan sifat integriti sebagai seorang pemimpin agung sepanjang zaman.
Realiti hari ini, dalam laporan media massa dan media sosial mendedahkan banyak laporan tentang pegawai kerajaan atau institusi tertentu yang pecah amanah, menerima rasuah, tidak melakukan tugas dengan jujur, mengambil kesempatan terhadap jawatan dimiliki, menyalahgunakan kuasa, mengguna pakai duit rakyat dan sebagainya.
Bahkan, pada masa kini jawatan sebagai ‘pemimpin’ itu dilihat sebagai milikan kuasa dan lubuk kepada kekayaan yang mana situasi ini bukan merupakan satu integriti yang diajar oleh Nabi Muhammad.
Lebih menyedihkan lagi, Malaysia berada di tangga 62 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021. Kedudukan ini menyaksikan negara kita merosot berbanding 2020 berada di tangga 57.
Negara-negara yang menjuarai indeks tersebut rata-rata dari negara bukan majoriti Islam seperti Denmark, Finland, New Zealand, Norway, Singapura, Sweden, Switzerland, Belanda, Luxembourg dan Jerman. Di mana kedudukan negara-negara Islam dan majoriti umat Islam yang lain?
Sedangkan Islam sangat menitikberatkan integriti dan Nabi Muhammad mendidik umat baginda untuk berakhlak baik yang mampu membentuk sifat jujur tersebut.
Ambillah pengajaran daripada Nabi Muhammad dan hayatilah sirah baginda sehingga menjadi pemimpin agung.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHADHER AHMAD
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya