Tanam sayur dapat kurangkan beban kenaikan harga

Tanam sayur dapat kurangkan beban kenaikan harga

TIADA alasan untuk orang ramai tidak mengamalkan budaya menanam sumber makanan sendiri selagi kawasan tanaman menerima pencahayaan yang baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

 

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan orang ramai untuk mula menanam sayur-sayuran sendiri bagi mengurangkan beban kenaikan harga.

Seperti diketahui umum, harga bagi sayur-sayuran meningkat setiap hari secara beransur-ansur dan dijangka berterusan untuk tempoh agak lama.

Jadi, menanam sayur sendiri di rumah boleh menjimatkan kos. Pengguna boleh menanam sayur-sayuran yang biasa dimakan dengan mudah di rumah. Bahkan cara ini tidak memerlukan ruang yang besar.

Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkung, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni.

Barangan rumah yang biasa digunakan seperti karton susu, jus, botol minuman atau bekas bersaiz kecil boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun.

Bagi tumbuhan yang mempunyai akar lebih besar seperti bendi dan terung, boleh menggunakan tin biskut, botol minyak dan botol air bersaiz 5 liter sebagai medium tanaman.

Sesiapa sahaja boleh menanam dan menuai sayur-sayuran walaupun di tempat kecil selagi teknik digunakan adalah betul iaitu dengan memastikan teknik pencahayaan, sukatan air dan kompos yang bersesuaian digunakan.

Untuk tujuan ini, CAP mengadakan latihan berkala pertanian bandar bagi mereka yang berminat untuk belajar terutama suri rumah. Jadi, mereka boleh mula menanam sayur-sayuran sendiri di rumah.

Memulakan taman rumah adalah berbaloi kerana ia memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati sayur-sayuran segar dan bebas kimia.

Mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat tinggi dengan ruang terhad juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi mereka memastikan tanaman mendapat cahaya matahari.-UTUSAN

 

N.V. SUBBAROW

Pegawai Pendidikan CAP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya