Sampai bila Tun M mahu dibohongi? - Utusan Malaysia

Sampai bila Tun M mahu dibohongi?

BENARKAH Pejuang tidak ditubuhkan untuk memenuhi agenda mengangkat semula Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri? – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 11 Oktober lalu yang mengesahkan beliau akan mempertahan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, beliau dicalonkan sebagai wakil rakyat sahaja dan bukan sebagai calon Perdana Menteri kali ketiga.

Beliau berkata, GTA memutuskan tidak menamakan calon bakal Perdana Menteri ketika ini kerana ia hanya relevan jika gerakan itu menang pada PRU15.

Sebelum itu, pada bulan lalu dalam program bual bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Mahathir memaklumkan beliau sedia untuk kembali dilantik menjadi Perdana Menteri bagi kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

Tambah beliau, Pejuang tidak ditubuhkan untuk memenuhi agenda mengangkatnya semula sebagai Perdana Menteri sebaliknya cuma nak memastikan Malaysia ditadbir oleh pemerintah yang prihatin dan sayang kepada bangsa, negara serta agama.

Dalam pada itu, setiap minggu akan ada sahaja kenyataan akhbar oleh pemimpin GTA dan Pejuang yang mempromosi parti terbabit.

Mereka begitu memuja dan mengangkat Dr. Mahathir seolah-olah tidak ada lagi manusia di negara ini yang mampu membangunkan Malaysia.

Statistik

Kali ini Dr. Mahathir cuba dibohongi oleh pemimpin GTA dan Pejuang dengan mengatakan umat Melayu memberikan sokongan yang padu kepada beliau untuk kembali berkuasa. Statistik apa yang mereka gunakan?

Mengikut situasi semasa, Dr. Mahathir tidak lagi diperlukan untuk menjadi pemimpin politik oleh rakyat negara ini terutama orang Melayu. Beliau diminta oleh orang Melayu untuk berehat di kala usia yang menjangkau 100 tahun beberapa tahun lagi.

Orang Melayu tidak mahu beliau dipergunakan oleh beberapa orang yang mahukan sesuatu yang akhirnya jasanya selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri kali pertama dilupakan.

GTA dianggotai oleh beberapa parti yang langsung tiada sejarah memenangi PRU sebelum ini dan hanya pemimpin yang syok sendiri mempergunakan Dr. Mahathir untuk menonjolkan diri mereka.

Adakah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) diterima di Kelantan pada masa ini? Atau adakah parti-parti lain dalam gabungan itu pernah memenangi PRU sebelum ini?

Kepada pemimpin terbabit, cukup-cukuplah memberikan gambaran salah kepada Dr. Mahathir dengan mengatakan orang Melayu memerlukan dan menyokongnya untuk kembali berkuasa.

Dengan ahli Pejuang yang hanya beberapa kerat dan ada yang hidup segan mati tak mahu, tak perlulah membohongi Dr. Mahathir dengan cerita dongeng begini. Cukup-cukuplah membohongi beliau. – UTUSAN

HALIM OSMAN, Kulim, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya