SAUDARA PENGARANG
BAGI saya, keputusan pembubaran Parlimen adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. Negara mengalami ketidakstabilan politik sudah hampir dua tahun. Ada sahaja ahli politik yang melompat parti dan mengugut keluar parti atau menghentikan kerjasama untuk manfaat sendiri.
Maka pembubaran ini adalah satu tindakan yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apatah lagi setelah didesak beberapa pihak supaya beliau berbuat demikian.
Perdana Menteri membuat pengumuman khas itu yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara pada pukul 3 petang, 10 Oktober lalu menerusi saluran televisyen dan medial sosial.
“Dengan ini dimaklumkan bahawa tengah hari semalam saya telah mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin, 10 Oktober 2022,” katanya dalam satu perutusan khas.
Selamat
Diharapkan dengan adanya kerajaan yang baharu nanti dapat membentuk pemerintahan lebih stabil, mantap dan mampu membawa negara keluar dari kemelut kemelesetan ekonomi yang melanda seluruh dunia.
Kita dapat lihat Malaysia mengalami kekurangan pelaburan sebelum ini kerana ketidakstabilan politik. Maka inilah peluang untuk rakyat mengubah dan melakukan sesuatu.
Namun, saya berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memudahkan prosedur operasi standard (SOP) dan membuat persiapan rapi agar rakyat dapat keluar mengundi dengan mudah dan selamat.
Dalam masa sama, ahli-ahli politik perlu sedar, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan platform untuk menyelamatkan mana-mana pihak yang mungkin berhadapan dengan kes-kes mahkamah.
Sebaliknya, rakyat mahu mereka menjalankan tugas dengan jujur, amanah dan adil. Maka berkempenlah dengan baik.
Semoga Malaysia mendapat pemimpin yang terbaik bagi terus mentadbir negara untuk tempoh yang mencabar pada masa depan. – UTUSAN
MUHAMMAD RAQIB MOHD. SOFIAN
Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)