SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI penghimpun, pengkolaborasi dan pemangkin perubahan sosial, Yayasan Hasanah mengalu-alukan langkah meningkatkan kerjasama awam-swasta-rakyat yang akan memberi manfaat kepada komuniti paling rentan atau mudah dihinggapi penyakit.
Menjelang tahun depan, kami bersiap siaga untuk berganding bahu dengan kerajaan bagi memaksimumkan skala dan impak program-program yang dijalankan.
Ia bertujuan mempertingkatkan keselamatan sosial untuk golongan rentan, bantuan kos sara hidup yang disasarkan, kelangsungan makanan, bantuan bencana, kesihatan mental, penggalakan pertumbuhan hijau serta pembangunan mampan dan inklusif.
Berkolaborasi dengan kerajaan melalui Kementerian Kewangan dari 2020 hingga 2022, kami telah menjalankan 177 projek di seluruh negara yang memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta rakyat secara langsung dan tidak langsung merentasi semua lapisan masyarakat.
Dalam sektor seni, program kami iaitu Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS) yang sedang berlangsung kini membantu ribuan penggiat seni dengan peluang ekonomi bernilai RM3 juta.
Ia bermatlamat memperkasakan aktiviti seni seperti produksi teater, pameran dan persembahan berkumpulan agar warisan budaya dapat dipelihara buat rakyat.
Di samping itu, Yayasan Hasanah selaku urus setia bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam inisiatif GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) telah responsif dengan mengagihkan sumbangan kolektif.
Sebanyak RM139.2 juta diagihkan untuk bantuan banjir sepanjang 2021 dan 2022 serta RM140 juta untuk bantuan Covid-19 bagi tempoh sama.
Yayasan Hasanah akan terus memperjuangkan kerjasama kolektif agar kita dapat mencapai agenda bersama #kitasemua. – UTUSAN
DATUK SHAHIRA AHMED BAZARI
Pemegang Amanah & Pengarah Urusan Yayasan Hasanah