Pilih pemimpin ikut cara Islam - Utusan Malaysia

Pilih pemimpin ikut cara Islam

MANDAT telah dipulangkan kepada rakyat bagi memilih pemimpin untuk memastikan kestabilan politik negara. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMBUBARAN Parlimen diumumkan pada 10 Oktober lalu oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengumuman tersebut menandakan mandat dipulangkan kepada rakyat bagi memilih pemimpin untuk memastikan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh dan dihormati selepas PRU15.

Proses pemilihan pemimpin di Malaysia adalah berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pemimpin adalah individu yang bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan menjaga setiap perkara yang diamanahkan. Kepimpinan pula merupakan suatu amanah yang wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Seseorang pemimpin perlu memelihara diri daripada melakukan perbuatan buruk, menegakkan kewajiban syarak dan melaksanakan tugas yang dipikulnya dengan baik dan adil.

Terdapat beberapa syarat dan kelayakan bagi seseorang calon sebelum dipilih menjadi pemimpin seperti yang digariskan Islam sebagai panduan.

Pertama, syarat keagamaan dan akidah iaitu mesti beragama Islam. Para ulama bersepakat tentang syarat itu khususnya bagi jawatan kepimpinan tertinggi yang bertanggungjawab dalam menentukan dasar.

Imam al-Syawkani menyatakan, para pemimpin, sultan, hakim dan individu mendapat mandat kuasa daripada syarak. Justeru, individu yang memegang amanah kepimpinan mestilah terdiri dalam kalangan orang Islam.

Unsur keagamaan akan menjadikan kepimpinan negara bersedia melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh dengan penuh keyakinan tanpa bertangguh dan beralasan.

Akidah Islam yang dianuti akan mendorong kepimpinan untuk bertanggungjawab di hadapan Allah SWT dan rakyat, sekali gus kepimpinan Islam tidak menjadi penghalang kepada pelaksanaan syariat Islam.

Waras

Kedua, syarat-syarat kemampuan. Kemampuan tersebut meliputi banyak perkara termasuk baligh, waras, lelaki, keilmuan yang tinggi, kesihatan baik dan mahir cara mengurus dan mentadbir dengan cekap.

Kanak-kanak yang belum baligh tidak mempunyai kemampuan memimpin, malahan diri sendiri memerlukan pimpinan dan penjagaan daripada orang lain.

Begitu juga orang gila tidak mampu memimpin dan mentadbir. Para ulama turut bersepakat meletakkan syarat lelaki kerana telah diciptakan oleh Allah SWT pada dasarnya mempunyai persediaan untuk memikul tugas kepimpinan yang berat di semua peringkat.

Selain itu, kepimpinan yang berkemampuan dari segi ilmu pengetahuan tentang Islam dan peraturan, boleh memberi sumbangan kepada tamadun dan budaya ilmu dalam kalangan rakyat.

Seterusnya, kesihatan bermaksud sempurna anggota dan pancaindera daripada kecacatan kerana kelemahan yang memberi kesan kepada kemampuan berfikir dan bekerja.

Akhirnya, pemimpin mesti mahir dalam pengurusan organisasi dan pentadbiran negara meliputi pelbagai aspek seperti urusan dalam negeri, luar negara, ketenteraan, keselamatan, kemasyarakatan, pendidikan dan sebagainya.

Ketiga, syarat keadilan. Adil dalam konteks kepimpinan bermaksud bersungguh-sungguh melaksanakan kebaikan mengikut aspek agama dan akhlak.

Kebaikan di dalam agama ialah menunaikan semua tanggungjawab atau melaksanakan semua yang difardukan serta meninggalkan segala larangan.

Kebaikan akhlak pula ialah melakukan sesuatu yang mendatangkan keelokan dan kesempurnaan, mengelakkan diri daripada unsur tidak baik dan jijik sama ada dalam perbuatan atau perkataan. – UTUSAN

DR. AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya