Persembahan cef jadikan makanan dihidang lebih lazat - Utusan Malaysia

Persembahan cef jadikan makanan dihidang lebih lazat

CEF perlu menyediakan hidangan yang berkhasiat dan mampu menjadi memori indah kepada yang menikmatinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BESAR tanggungjawab menjadi seorang cef. Bukan sekadar menyediakan menu hidangan lazat dengan persembahan yang cantik tetapi memastikan hidangan yang berkhasiat dan mampu menjadi memori indah kepada yang menikmatinya.

Sentuhan cef membuatkan menu kelihatan lebih lazat seterusnya menimbulkan keterujaan untuk menikmatinya. Inilah keistimewaan kerjaya cef.

Pilihan menjadikan cef sebagai kerjaya adalah suatu keputusan besar. Ada yang belajar dan mempunyai kelulusan akademik formal dan layak memohon untuk menjadi seorang cef sama ada di restoran terkenal atau di hotel terkemuka.

Ada juga yang mempunyai bakat semula jadi dan minat yang mendorong diri untuk menjadi seorang cef walaupun telah memiliki kerjaya lain. Sama ada menjadi chef melalui pilihan kerjaya atau menjadi chef disebabkan oleh minat yang disokong oleh persekitaran yang positif, kemuncak kepada kerjaya seseorang cef ialah apabila telah terkenal dan menjadi sebutan ramai.

Cef selebriti adalah status luar biasa seorang cef yang menyamai reputasi seorang artis sehingga terkenal bukan sahaja di seluruh negara malahan di peringkat antarabangsa.

Sumbangan besar seorang cef adalah untuk memelihara serta mengekalkan keaslian sesuatu masakan. Ia penting bagi memastikan ketulenan serta identiti sesuatu makanan.

Tanggungjawab cef, bukan sahaja menjadi tukang masak profesional di dapur tetapi juga memainkan peranan sebagai seorang pemimpin untuk mengetuai dapurnya dalam kerja-kerja merancang, membimbing dan menunjuk ajar supaya lahir lebih ramai cef profesional yang mampu memberi sentuhan luar biasa.

Hidangan lazat sering dikaitkan dengan kenangan indah dalam kehidupan. Tanpa seorang cef yang berkaliber tidak mungkin lahir menu makanan lazat di dunia ini. – UTUSAN

MOHD. RAFIZI RAHMAD & KHAIRUL HIDAYAT REZO
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya