SAUDARA PENGARANG,
MENURUT Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari Mac 2022, keadaan kelemahan ekonomi dunia yang turut memberi kesan kepada Malaysia akibat penutupan sektor ekonomi susulan pandemik Covid-19 memerlukan sokongan dasar kewangan mantap.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus. Kenaikan ketiga tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini.
Keadaan ini membimbangkan peminjam perumahan dan kenderaan kerana perlu membayar lebih daripada sebelumnya.
Adalah dicadangkan kepada institusi pembiya supaya menyusun semula bayaran ansuran sama ada memanjangkan tempoh bayaran balik dan peminjam kekal dengan kadar sebelum kenaikan OPR. Namun ia tertakluk kepada persetujuan peminjam atau pihak pembiaya.
Meskipun kenaikan OPR boleh memberi kesan kepada peminjam melalui bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi untuk pinjaman kadar terapung, secara positifnya kadar lebih tinggi juga akan memberikan manfaat kepada penyimpan melalui pulangan deposit lebih tinggi. Justeru, orang ramai diingatkan supaya menyimpan wang untuk mendapat pulangan yang tinggi terhadap simpanan mereka.
Pulangan deposit yang lebih tinggi akan menggalakkan individu menambah simpanan bagi membina semula penampan kewangan mereka yang terjejas akibat krisis Covid-19.
Bantuan disediakan untuk golongan ini termasuk pelbagai kemudahan di bawah Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khidmat nasihat dan bantuan di bawah pelbagai program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedia ada untuk isi rumah dan PKS iaitu Program Pengurusan Kredit (PPK) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK).
Perkara paling penting ialah pelarasan OPR dilaksanakan secara beransur-ansur supaya tidak mengganggu pemulihan ekonomi negara.
Justeru, kempen galakan rakyat menyimpan wang perlu dilaksanakan semula dan diperluaskan ke peringkat sekolah, industri serta suri rumah, sektor awam dan swasta di negara ini.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya