SAUDARA PENGARANG,
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November ini iaitu hari Sabtu sebagai tarikh pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sesuai dengan pengumuman itu, adakah kita semua sudah bersedia untuk memilih pemimpin baharu yang kompeten serta mampu menjalankan tanggungjawab dalam pentadbiran dan menyelesaikan kemelut yang melanda negara?
Islam adalah agama yang melihat bahawa pemilihan, pelantikan serta ketaatan terhadap pemimpin merupakan suatu kewajiban bagi umatnya. Al-Quran dan hadis tidak menjelaskan tentang kaedah memilih pemimpin.
Akan tetapi al-Quran dan hadis serta para sarjana Muslim telah memberikan gambaran yang jelas mengenai siapakah individu seharusnya dipilih dan seterusnya ditaati serta segala syarat yang harus dimiliki oleh seseorang pemimpin.
Al-Mawardi menggariskan beberapa syarat utama bagi melantik pemimpin iaitu keadilan, keilmuan mencukupi, pancaindera dan anggota yang sempurna, mempunyai pemikiran politik rakyat, mahir pengurusan dalam semua perkara dan keberanian.
Menurut pandangan sarjana Barat seperti G.R. Terry, pemimpin memberi erti orang yang mempunyai kemahiran dan keupayaan dalam membina orang lain, menunjuk panduan untuk mencapai matlamat dan mendorong pengikut supaya mereka melaksanakan tanggungjawab.
Menelusuri era yang penuh mencabar ini, saya berpandangan, pemimpin perlu merupakan seorang yang mempunyai idealisme, manifesto perjuangan bukan retorik dengan mengambil kira faktor setempat dan tidak mengambil kesempatan atas emosi rakyat.
Pemimpin juga perlu dirasai kewujudannya, mempunyai rekod memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan boleh menyuarakan isu-isu rakyat di dewan perwakilan dan bukan pemimpin bermusim.
Kesedaran
Komunikasi juga aspek yang penting. Rakyat mengharapkan pemimpin dalam kalangan yang mampu berkomunikasi menyampaikan misi dan visi dalam bahasa yang difahami oleh rakyat, mampu menyuarakan isu dan dapat berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Pemimpin terbaik adalah yang sanggup mendengar aduan dan rintihan rakyat terutama daripada generasi muda. Mereka juga perlu mampu membawa isu atau aduan ke peringkat atasan untuk diselesaikan.
Mengikut data pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan pengundi berdaftar berjumlah 21 juta orang.
Daripada jumlah itu, seramai 1.2 juta orang iaitu 5.68 peratus ialah pemilih berumur 18 hingga 20 tahun, manakala baki ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.
Melihat situasi ini, amat perlu ditingkatkan tahap kesedaran semua bakal pengundi untuk mengetahui hak dan tanggungjawab mereka bagi membuat keputusan yang tepat dalam PRU15.
Tidak dinafikan terdapat segelintir pihak yang kurang terdedah atau kurang berminat dengan perkembangan isu politik. Hal ini menjadikan mereka tidak pasti mana satu parti atau calon yang seharusnya dipilih.
Namun, mengelakkan diri daripada mengundi bukanlah langkah terbaik kerana ia adalah soal masa depan negara sendiri. Memilih pemimpin yang dinamik dan progresif mampu membawa negara menuju kejayaan yang diimpikan oleh semua.
Selain itu, pengundi perlu bijak dalam menapis segala maklumat yang diterima kerana kempen semakin rancak. Letakkan kewarasan dan rasional mengatasi emosi.Hindari ketaksuban politik kepartian melampau yang mengundang permusuhan. – UTUSAN
DR. MOHAMED RASHID AB. RAZAK
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)