SAUDARA PENGARANG,
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar tidak terlalu yakin dan ‘syok sendiri’ kerana parti itu dilihat akan mengalami nasib sama seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR lupa bahawa pada PRU14, parti mereka menang besar kerana penyatuan serta kesepakatan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Para pengundi pada PRU14 yakin dengan pembangkang semata-mata kerana aura Dr. Mahathir amat kuat sehingga dapat menarik kira-kira 12 peratus undi Melayu atas pagar untuk menyokong Pakatan Harapan (PH).
Tambahan pula, pengundi amat yakin kerana parti-parti terbabit bertanding di bawah satu logo.
Namun untuk PRU15, PH kehilangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain orang-orang kuat seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Kamaruddin Jaffar serta lapan lagi pemimpin PKR yang berpengaruh.
Dalam masa sama, orang Melayu sudah hilang keyakinan terhadap Anwar. Pengundi pelbagai kaum lain juga sudah tidak mempercayai Anwar dan PH selepas memeterai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan UMNO.
Dari 2014 hingga 2018, kita semua bermatian melawan kerajaan UMNO dan kini Anwar serta PH sanggup menyokong sebuah kerajaan yang diterajui UMNO melalui CSA.
Pada realitinya, Anwar dan PH yang menyambung serta menguatkan ‘tali hayat’ kerajaan ditunjangi UMNO. Secara tidak langsung juga menguatkan kedudukan UMNO pada hari ini setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab menyerahkan kuasa pada UMNO.
Kuatnya kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO adalah hasil sokongan daripada Anwar dan PH.
Justeru, semua pemimpin pembangkang harus ketepikan ego masing-masing sekiranya hendak menubuhkan semula Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
Kita akui sukar untuk semua pembangkang bergabung di bawah satu khemah tetapi memadai sekiranya semua pihak boleh berbalik ke meja rundingan untuk mewujudkan pakatan pilihan raya bagi menumbangkan UMNO serta Barisan Nasional (BN).
Ini kerana pertandingan banyak penjuru sesama pembangkang akan memberi kemenangan mutlak kepada UMNO/BN.-UTUSAN
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah
Persekutuan & Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan