SAUDARA PENGARANG,
ALAM sekitar merupakan aset penting untuk kelestarian kehidupan semua makhluk di muka bumi. Oleh itu, menjaga dan memelihara alam sekitar amat penting. Sebagai umat Islam, kita tidak terkecuali daripada tanggungjawab ini.
Ingatlah, alam sekitar juga adalah ciptaan Allah SWT dan setiap ciptaan-Nya pasti ada sebab dan fungsi. Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat manusia untuk memelihara alam sekitar kerana kita telah diamanahkan melalui sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud:
“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Riwayat Muslim)
Al-Quran dan sunah telah memberikan satu penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber rujukan umat Islam ini menyeru setiap manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah SWT yang agung. Penjagaan alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata.
Al-Quran dan sunah sama sekali melarang sebarang pencemaran dan kemusnahan alam sekitar di samping menggesa umat Islam untuk memanfaatkan khazanah alam dengan sebaik-baiknya untuk kesejahteraan bersama di samping memeliharanya.
Sesungguhnya usaha murni ini amat disanjung mulia di sisi Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung di sisi Allah SWT.
Hakikatnya, keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ia mesti selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran dikecapi.
Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan.
Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan semua makhluk akan terancam. Kata sayang alam sekitar, maka buktikanlah wahai Keluarga Malaysia. – UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH, Kepala Batas, Pulau Pinang