Masalah kurang tersenyum boleh diatasi - Utusan Malaysia

Masalah kurang tersenyum boleh diatasi

Detik paling indah adalah melihat anak-anak kita tersenyum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEBANYAKAN ibu bapa mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan sehingga menyebabkan mereka terlepas momen-momen istimewa melihat anak-anak membesar.

Detik paling indah sepanjang tempoh itu adalah melihat anak-anak kita tersenyum ketika sama-sama terlibat dalam aktiviti keluarga. Senyuman lebar anak-anak akan sering kita ingat dan semat di hati apabila mereka dewasa nanti.

Bagaimanapun, terdapat kes kanak-kanak kurang tersenyum yang berpunca kerana mereka mempunyai masalah gigi reput (karies) dan perkara itu boleh diatasi secara mudah dengan menggosok gigi.

Langkah menjaga kebersihan gigi dari awal usia perlu dititikberatkan kerana amalan ini akan menjadikan gigi anak-anak sentiasa sihat dan kuat apabila mereka semakin membesar.

Amalan penjagaan gigi yang baik amat penting untuk mengelak kanak-kanak daripada masalah gigi reput. Karies disebabkan oleh plak gigi yang tumbuh di sekitar mulut.

Ia mengandungi sejenis bakteria yang membiak apabila terdapat gula dan unsur karbohidrat serta akhirnya mengakibatkan terhasilnya kaviti (lubang) jika ia berada di permukaan gigi untuk beberapa ketika.

Oleh kerana ini adalah masalah yang biasa berlaku di seluruh dunia, pendidikan awal tentang kepentingan penjagaan gigi dan memberus dengan konsisten boleh membantu mengelak berlaku karies dan kaviti.

Senyuman yang sihat sangat mempengaruhi interaksi sosial di mana ia memberi kesan yang penting tentang bagaimana kanak-kanak itu dilihat, dirasai kehadirannya serta tanggapan orang lain terhadapnya.

Kajian juga menunjukkan kanak-kanak tanpa karies memberi senyuman yang lebih positif dan akan menunjukkan gigi apabila tersenyum.

Sebagai ibu bapa, kita harus menggalakkan amalan penjagaan kebersihan mulut yang betul supaya anak-anak kita mempunyai kualiti hidup lebih baik. – UTUSAN

DR. NOORHIDAYAH ZAINAL AALAM
Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya