SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI sebuah komponen dalam masyarakat, kami golongan mahasiswa dengan penuh insaf ingin menyatakan tuntutan dan hasrat kami sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kami yakin, dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik dan berjaya, peranan dan potensi generasi muda tidak harus diabaikan. Kami juga sedar bahawa masa depan negara terletak di bahu generasi muda hari ini.
Tuntutan ini harus dipertimbangkan oleh bakal-bakal calon dan kerajaan yang akan datang bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan.
Antara tuntutan berkenaan adalah pertama, pemilihan calon muka baharu yang lebih inklusif dan bebas rasuah. Mahasiswa menolak individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah dan politik wang sebagai calon pilihan raya.
Setiap parti digesa menampilkan lebih ramai calon muka baharu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk orang kurang upaya (OKU), wanita, Orang Asli dan kumpulan minoriti bagi mewujudkan keseimbangan politik.
Kedua, mengehadkan tempoh perkhidmatan seseorang Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun sahaja seumur hidup. Perkara ini boleh dilakukan dengan pindaan pada Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan.
Ketiga, mengetatkan kelayakan menjadi ahli Parlimen serta mengehadkan tempoh perkhidmatan ahli Dewan Rakyat kepada lima penggal seumur hidup. Harus juga dipastikan seseorang yang dipilih menjadi ahli Parlimen mempunyai kelayakan sewajarnya.
Perkara ini boleh dilakukan dengan melakukan pindaan pada Perkara 47(b) dan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan. Keempat, penurunan had umur minimum senator Dewan Negara kepada 25 tahun.
Ini sejajar dengan penurunan had umur kelayakan mengundi dan menjadi calon pilihan raya dari umur 21 kepada 18 tahun. Menurunkan had umur minimum senator daripada 30 kepada 25 tahun boleh dibuat melalui pindaan pada Perkara 47(a) Perlembagaan Persekutuan.
Mansuh
Kelima, memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan digantikan dengan Akta Pendidikan Tinggi (APT) yang mengandungi perlindungan terhadap semangat keilmuan, demokrasi, kebebasan akademik dan autonomi universiti.
Akta ini mesti bersifat menyeluruh bagi menggantikan empat akta berkaitan pengajian tinggi sedia ada iaitu AUKU 1971, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dan Akta Universiti Teknologi Mara 1976.
Keenam, mewujudkan kesatuan mahasiswa nasional dan kesatuan mahasiswa di universiti awam dan swasta. Kesatuan perlu diletakkan setara dengan universiti dan bukan di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP). Autonomi kesatuan mahasiswa dipelihara melalui peletakan kesatuan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 atau Akta Pertubuhan 1966.
Ketujuh, perkenalkan #SiswaMalaysia yang akan menjadi insentif bersasar pelbagai guna meliputi subsidi kepada semua perkhidmatan termasuk pengangkutan awam, kesihatan dan perbelanjaan seharian mahasiswa. Insentif ini juga boleh berfungsi sebagai skim perlindungan takaful mahasiswa dan mempunyai ciri pintar pelaburan.
Kelapan, menambah peruntukan program Protege dan MyStep sesuai dengan peratus pengangguran semasa yang tinggi dan mampu menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus kadar pengangguran graduan.
Kesembilan, kerajaan digesa memperkenalkan inisiatif #RumahSewaSiswa melibatkan pelaksanaan projek perumahan untuk mahasiswa yang akan disewakan bagi menangani masalah kekurangan penempatan dalam universiti. – UTUSAN
GERAKAN MAHASISWA, Kuala Lumpur