SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, satu badan yang menggelar mereka sebagai Gerakan Mahasiswa telah mengumumkan 15 tuntutan yang ditujukan kepada calon-calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Saya mendapati terdapat beberapa tuntutan dalam gerakan tersebut yang perlu diberi perhatian.
Pertama, kita perlu menyokong tuntutan untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan mensubsidi yuran pengajian bagi golongan berpendapatan sederhana (M40).
Pelaksanaan langkah ini amat penting bagi memudahkan pelajar B40 dan M40 untuk menuntut di peringkat pengajian tinggi bagi meningkatkan taraf hidup serta menyumbang kepada pembangunan negara. Tuntutan ini juga menjadi landasan ke arah mewujudkan pendidikan percuma untuk semua lapisan masyarakat pada setiap peringkat.
Selain itu, yang perlu disokong adalah tuntutan untuk menjamin perlindungan bagi pelajar latihan industri dan pekerja ekonomi gig melalui Akta Kerja 1955 supaya mereka juga boleh mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Hal ini perlu dilakukan bagi mengelakkan eksploitasi dan memelihara maruah mereka selaku pekerja yang layak mendapat perlindungan dan manfaat tertentu. Akhir sekali, saya menyokong tuntutan dasar inklusif orang kurang upaya (OKU). Setiap orang tidak mengira keupayaan berhak mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat tertiari.
Hal ini hanya dapat dilaksanakan dengan memastikan perkhidmatan dan infrastruktur yang mesra OKU disediakan di setiap institusi pengajian tinggi (IPT). Oleh itu, bakal kerajaan perlu segera melakukan perancangan bagi memenuhi tuntutan tersebut supaya golongan OKU tidak terus terpinggir daripada hidup bersama masyarakat.
Dengan ini, diharapkan calon-calon PRU15 memberi komitmen untuk memenuhi tuntutan-tuntutan mahasiswa bagi melahirkan Malaysia yang lebih prihatin terhadap keperluan rakyatnya. – UTUSAN
TITANIA
Kuala Lumpur