SAUDARA PENGARANG,
PADA 7 Oktober lalu, kerajaan Malaysia mengambil pendirian berkecuali dalam isu pencabulan hak asasi etnik Uighur di China ketika laporan mengenainya diusul untuk dibahas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berikutan banyak negara yang mengambil pendirian seperti Malaysia, maka Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) telah menolak usul bagi perbahasan tentang dakwaan mengenai pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap etnik Islam Uighur di wilayah Xinjiang.
Pengundian yang melibatkan 47 negara anggota menyaksikan Malaysia bersama 11 negara lain mengambil pendirian berkecuali sementara 19 negara menolak serta 17 negara menyokong. Negara Islam seperti Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih konkrit dan signifikan bagi menyuarakan bantahan terhadap layanan pemerintah China yang dikuasai Parti Komunis China (PKC) ke atas etnik ini.
Malangnya sehingga kini, kerajaan Malaysia gagal memberikan tekanan kepada pemerintah China atas kezaliman rejim PKC ke atas masyarakat Islam Uighur di wilayah berkenaan.
Beberapa organisasi media utama dunia seperti New York Times, CNN, AlJazeera dan TRT pada November tahun lalu sudah membuat pendedahan terhadap sebuah fail yang mengandungi ratusan foto tahanan Uighur bertajuk The Xinjiang Papers dan maklumat layanan buruk yang mereka terima di kem tahanan.
Dokumen setebal 400 muka surat itu mendedahkan jutaan etnik Uighur menjadi tahanan di kem pendidikan semula secara paksa. Ada juga laporan membuktikan mereka yang ditahan dijadikan sebagai buruh paksa demi menyokong pertumbuhan pesat ekonomi China.
Malangnya isu ini gagal mendapat perhatian dunia termasuk kerajaan Malaysia yang diam membisu.
Boikot
Oleh kerana kurang sokongan kerajaan, kami menyeru rakyat dan sektor perniagaan pula membuat tindakan drastik dengan menyokong kempen memboikot import dan pembelian barangan dibuat dari Xinjiang, terutama dihasilkan dalam kem-kem tahanan paksa yang menempatkan tahanan Uighur.
Syarikat Malaysia harus secara sukarela membuktikan dan mengisytiharkan bahawa produk mereka atau komponen produk mereka tidak dihasilkan oleh tahanan dan buruh paksa di Xinjiang.
Malaysia perlu menghantar mesej yang jelas bahawa kita enggan lagi bertoleransi dan menyokong penggunaan buruh paksa dan jenayah kemanusiaan oleh PKC di Xinjiang.
Langkah kerajaan Amerika Syarikat yang sudah menguatkuasakan arahan larangan import dari kem buruh paksa Xinjiang sejak 21 Jun lalu boleh dijadikan sebagai contoh.
Larangan ini sudah menampakkan perkembangan positif apabila 83 jenama dunia melakukan tindakan proaktif dengan memindahkan kilang mereka keluar dari Xinjiang.
Jenama-jenama lain seperti Nike, Adidas, Samsung, BMW dan Uniqlo juga telah mengeluarkan kenyataan tidak menyokong pemerasan dan penganiayaan terhadap etnik Uighur menerusi penggunaan buruh paksa yang dipelopori PKC.
Syarikat milik kerajaan (GLC), kerajaan dan agensi-agensi di Malaysia serta seluruh rakyat juga harus bertindak. Hantar mesej jelas kepada PKC supaya hentikan penganiayaan dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap masyarakat Islam di Xinjiang. – UTUSAN
SETIAUSAHA GABUNGAN #MALAYSIASOKONGUYGHUR, Kuantan, Pahang