SAUDARA PENGARANG,
MUTAKHIR ini, kita sering mendengar kisah kanak-kanak atau remaja mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang mereka kenali melalui telefon pintar atau gajet mudah alih.
Bayangkan, ada remaja semuda 14 tahun boleh bertindak melarikan diri dari rumah akibat terpengaruh dengan kenalan yang hanya dikenali melalui WhatsApp.
Tambah mengejutkan apabila membaca berita mengenai anak kecil berumur lima tahun sudah tahu melakukan aksi lucah yang dipelajari melalui YouTube.
Penggunaan gajet yang berterusan dalam kalangan kanak-kanak tanpa kawalan sebenarnya telah terbukti banyak merosakkan jiwa mereka.
Dalam satu tinjauan pendapat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Lembah Klang mendapati pada 2019, 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak-anak memiliki gajet.
Dipercayai kanak-kanak yang terdedah dengan penggunaan gajet pada usia muda hampir tiada kemahiran komunikasi dan hilang sentuhan dengan alam fizikal.
Banyak pandangan daripada pakar mengatakan kanak kanak tidak boleh didedahkan dengan gajet ketika masih berusia bawah dua tahun.
Jika dibiarkan, mereka terdedah dengan masalah rabun jauh dalam usia lebih muda. Sememangnya fenomena ini amat menakutkan.
Adakah kita akan membiarkan sahaja keadaan ini berlarutan tanpa kaedah pencegahan atau kawalan? Tanpa ibu bapa sedar, pengaruh negatif di zaman sekarang bukan lagi datang dari luar, tetapi dalam rumah kita sendiri.
Pada awalnya nampak seperti membantu ibu bapa dalam mengurus kelakuan anak-anak dengan pantas sehingga tanpa sedar ia mengakibatkan ketagihan yang bukan sahaja dapat merosakkan moral dan akhlak anak-anak tetapi juga perkembangan psikomotor mereka.
Disiplin
Namun, apakah caranya untuk menangani isu ini? Ia perlu ditangani melalui empat cara iaitu pertama, tingkatkan kemahiran keibubapaan yang sebenar termasuk menyemai sikap tidak terlalu melindungi anak-anak jika ia berkaitan dengan disiplin dan kelakuan mereka.
Tidak salah untuk mempertahankan anak-anak tetapi jika kesilapan mereka jelas dan nyata salah seperti terlalu obses dengan gajet, apa sebenarnya isyarat yang kita sebagai ibu bapa mahu sampaikan?
Adakah kita mahu anak-anak tidak mendengar nasihat ahli keluarga sendiri, guru dan masyarakat serta kita membiarkan kelakuan mereka tanpa teguran?
Kedua, kawalan kendiri. Walaupun penggunaan gajet pintar tidak dapat dielakkan, ibu bapa mempunyai peranan menyediakan pelan kawalan kendiri untuk anak-anak terutama dari segi tempoh masa penggunaan, bila, di mana, bagaimana dan berapa lama mereka boleh menghabiskan masa bersama peralatan itu.
Ketiga, kawal selia kandungan gajet. Ibu bapa mempunyai peranan untuk berfungsi sebagai penapis kandungan dan juga pengawas tingkah laku anak-anak ketika mereka di dalam talian.
Penting untuk ibu bapa mengambil tahu aktiviti anak-anak ketika di media sosial ataupun ketika melayari laman web dan sentiasa mengingatkan mereka perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat.
Keempat, bertawakal. Menjadi ibu bapa di abad ini tidak dinafikan sangat mencabar. Sehebat mana pun kawalan, tentu sekali kita tidak mampu mengawal anak-anak selama 24 jam sehari dan 365 hari dalam setahun.
Setelah segala ikhtiar dilakukan, berdoa supaya Allah SWT membantu meletakkan anak-anak kita di bawah kawalan-Nya. – UTUSAN
YAU’MEE HAYATI MOHAMED YUSOF & NORAZIDAH SAMSUDIN, Pensyarah universiti awam