SAUDARA PENGARANG,
DIGITAL Nasional Berhad (DNB) ditubuhkan bagi mengelola pembangunan spektrum jaringan telekomunikasi generasi kelima (5G) di Malaysia. Misi DNB termasuklah untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan desa.
Penubuhan DNB merupakan satu inisiatif yang selari dengan tuntutan antarabangsa untuk meningkatkan akses teknologi informasi maklumat kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian di seluruh dunia yang ditekankan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Pada awal bulan ini, enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu Celcom Axiata Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., YTL Communications Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd. (TM), Maxis Bhd. dan U Mobile Sdn. Bhd. dilapor mencapai persetujuan mengenai terma perjanjian untuk memajak rangkaian 5G syarikat itu menjelang akhir bulan ini.
Dalam pada itu,pembinaan menara telekomunikasi 5G kini berada pada tahap 54 peratus daripada keseluruhan 3,518 menara yang disasarkan dibina menjelang akhir tahun ini. Berikutan kemajuan-kemajuan ini, sinergi daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan segala usaha yang telah dilaksanakan dikekalkan.
Beberapa siri penangguhan akibat pertukaran kerajaan mengakibatkan pembangunan rangkaian 5G di dalam negara sedikit terbelakang berbanding negara jiran yang lain seperti Singapura.
Berikutan pertukaran kerajaan yang dijangka berlaku selepas Pilihan Raya umum Ke-15 (PRU15), DNB dikhuatiri akan diketepikan dan tidak menjadi agenda utama kerajaan yang bakal dibentuk kelak.
Dukacita
Sewaktu pertukaran pemerintahan dalam PRU14, kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad membatalkan beberapa projek mega yang mengakibatkan tujuan asal segala usaha pembangunan melibatkan kepentingan rakyat terpaksa dihentikan. Situasi yang sama tidak boleh lagi berulang pasca PRU15.
DNB secara jelas bukanlah inisiatif berasaskan parti seperti Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) sebaliknya ia merupakan inisiatif rakyat demi kepentingan masa depan di dalam pembangunan teknologi informasi maklumat. Lebih perlu diberi perhatian apabila inisiatif DNB ini sedang giat dijalankan dan berada di dalam landasan yang tepat.
Justeru, amat mendukacitakan sekiranya inisiatif pembangunan rangkaian 5G yang memberi manfaat kepada rakyat serta menyahut seruan antarabangsa terhenti dan tertangguh hanya kerana tidak semua pihak melihat kepentingan pembangunan ini kepada rakyat.
Mana-mana parti yang membentuk kerajaan pasca PRU15 perlu meletakkan pembangunan spektrum 5G sebagai keutamaan dan bukannya liabiliti yang perlu ditanggung kerajaan. Jangan mangsakan hak rakyat untuk mendapat akses internet demi agenda politik.
Ingatlah, pembangunan bandar pintar, pelaksanaan teknologi perubatan jarak jauh dan revolusi pendidikan juga memerlukan penyelarasan dan pelaksanaan 5G yang berkesan.
Penyediaan rangkaian 5G yang meluas ini sudah pastinya akan dapat memacu pendigitalan negara. Malaysia telah meletakkan sasaran untuk mencapai 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang 2024. – UTUSAN
AZZAIRI ROSLE
Peguam