Jangan berjanji bulan dan bintang - Utusan Malaysia

Jangan berjanji bulan dan bintang

KETIKA asyik berkempen, janganlah lupa masalah yang bakal dihadapi rakyat jika ditakdirkan musim tengkujuh tiba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETELAH berteka-teki sekian lama bila Parlimen akan dibubar, akhirnya terjawab sudah. Sekarang semua pihak tidak perlu lagi bercakap tentang tarikh pembubaran Parlimen.

Apa yang perlu dilakukan oleh parti-parti politik ialah persiapan yang seharusnya dilaksanakan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Mungkin kebanyakan parti politik sudah membuat persiapan untuk menghadapi PRU15. Apa yang seharusnya mereka lakukan adalah untuk meningkatkan kempen bagi memenangi hati rakyat.

Bagaimana cara kempen yang hendak dilakukan tidak perlu dipersoalkan kerana dalam dunia serba canggih sekarang, pelbagai kaedah boleh digunakan untuk memikat hati rakyat menyokong mereka.

Dalam pada itu, apa yang diharapkan, biarlah segala bentuk kempen dibuat secara berhemah. Jauhkan sama sekali budaya kempen yang menyerang peribadi pihak lawan.

Kalau berdegil untuk terus berkempen cara sedemikian, jangan salahkan sesiapa jika mereka menerima padah. Sedarlah bahawa corak pemikiran pengundi masa kini jauh berbeza dengan zaman dahulu.

Yang pasti, para pengundi sekarang terutama anak-anak muda mengutamakan budaya berkempen secara positif. Mereka mengharapkan kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU15 nanti banyak membela nasib rakyat terutama dari segi menyediakan peluang pekerjaan.

Janganlah membuat janji bulan dan bintang, tetapi janjilah untuk memberi sesuatu yang boleh dilaksanakan kepada semua lapisan rakyat, Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, di tengah-tengah asyik berkempen, janganlah lupa masalah yang bakal dihadapi rakyat jika ditakdirkan musim tengkujuh tiba sebagaimana diramalkan.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga para pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan lancar agar harapan mengembalikan hak kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil benar-benar menjadi kenyataan. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya