SAUDARA PENGARANG,
PERMINTAAN barisan pimpinan UMNO agar penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi laluan kepada Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan itu dianggap pilihan tepat selepas Khairy ‘menyakiti hati’ rakyat dengan kenyataan yang sukar diterima.
Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Kesihatan pernah berkata akan menyusahkan golongan antivaksin dan kenyataannya itu mengundang rasa kurang senang sekumpulan rakyat di negara ini.
Walaupun beberapa pemimpin UMNO bersimpati dengan nasib Khairy yang dianggap seperti anak emas parti, namun mungkin pandangan itu agak berbeza pada tanggapan jutaan rakyat yang berharap agar nama beliau ‘hilang dari radar’ atau digugurkan daripada menjadi calon.
Ini akan memberi kelegaan besar yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata lebih-lebih lagi kepada mereka yang terasa hati dengan kata-kata Khairy sebelum ini.
Pada pandangan saya, tindakan UMNO yang masih tercari-cari kerusi sesuai bagi penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal itu hanya sekadar umpan serta berjanji mulut.
Malah, ketika diajukan soalan mengenai jaminan Mohamad yang akan mencari kerusi lain yang sesuai kepada Khairy sebagai ganti, Khairy sekadar menjawab ‘terima kasihlah’ dan enggan mengulas lanjut.
Namun, baru-baru ini kita mendengar cakap-cakap beliau akan bertanding di Port Dickson. Sama ada benar atau tidak, kita tunggu sahaja pengumuman rasmi nanti.
Apakah akan berlaku ‘silap mata’ yang memperlihatkan nama beliau disingkirkan, seterusnya tidak lagi mendapat watikah calon bertanding daripada Presiden UMNO?
Segala-galanya itu adalah kemungkinan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam bidang politik. – UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang