Contohi sifat Rasulullah SAW dalam kepimpinan - Utusan Malaysia

Contohi sifat Rasulullah SAW dalam kepimpinan

ISU rasuah akan lenyap apabila pemimpin dan rakyat memperjuangkan integriti dan mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA berada di ambang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Kehangatan kempen pilihan raya oleh jentera parti sudah mula dirasai.

Manifesto parti pasti kelihatan kemas dan cantik dicetak. Kepimpinan yang ditawarkan jika terpilih dikatakan amat sempurna dan mengagumkan telinga yang mendengar.

Ironinya, isu integriti pemimpin terus meniti di bibir masyarakat. Sesebuah negara, institusi dan organisasi mendambakan ahli, kakitangan, rakyat dan pemimpin yang berintegriti, amanah, jujur, bijaksana, matang, berkaliber dan berpuluh-puluh lagi kualiti baik.

Rasuah amat dikeji dan diperangi oleh Rasulullah SAW. Kepimpinan baginda adalah manifestasi wahyu dan perintah daripada Allah SWT.

Justeru, umat Islam perlu mempelajari dan memahami selok-belok ilmu kepimpinan yang diaplikasikan oleh baginda agar terjamin kelestarian sesebuah negara seperti Malaysia agar dapat menjadi negara baik dengan Tuhan yang Maha Pengampun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya.” (Al-Baqarah: 188)

Masyarakat patut sedar dan maklum, setiap kategori rasuah yang digariskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan undang-undang bertujuan agar kita terselamat daripada amalan merosakkan ini.

Beberapa hadis diriwayatkan oleh Sunan Abi Daud, Sunan Al-Tirmizi dan Sunan Ibn Majah antaranya menyatakan Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah. Di samping itu, baginda dalam hadis lain turut melaknat sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah seperti orang tengah dan seumpamanya.

Isu rasuah akan lenyap apabila pemimpin dan rakyat memperjuangkan integriti dan mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan. Integriti menagih keberanian dan kecekalan hati serta minda.

Lembaran sejarah Islam membuktikan pembentukan karakter Rasulullah SAW yang tinggi integriti ketika menjalankan perniagaan tuannya di Syam. Tuntasnya, baginda digelar Al-Amin yang boleh disinonimkan dengan integriti.

Satu lagi contoh integriti Rasulullah SAW dalam penghakiman adalah melalui kisah yang popular di mana baginda bersumpah jika anakandanya, Saidatina Fatimah r.a. mencuri, nescaya baginda akan memotong tangannya.

Itulah contoh dan model yang mesti diikuti oleh umat Nabi Muhammad dalam memastikan kelestarian ajaran Islam dan manifestasi iman dan takwa kepada Allah SWT. – UTUSAN

DR. AIZAN ALI @ MAT ZIN
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya