SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA akan menyaksikan perkembangan yang pesat dalam bidang sukan apabila kerajaan mengumumkan belanjawan sebanyak RM332 juta dalam Bajet 2023, baru-baru ini.
Jumlah ini sekali gus meningkatkan semangat semua atlet, jurulatih dan kesemua individu yang terlibat dalam ekosistem kesukanan di negara ini.
Dalam Bajet 2023, sebanyak RM145 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara manakala RM154 juta bakal digunakan bagi memastikan ekosistem kesukanan adalah mapan pada tahun hadapan.
Ini membolehkan lebih banyak bakat baharu dicungkil dan fasiliti berkaitan penyelidikan dan pembangunan bidang ini bakal dibangunkan untuk menyerlahkan prestasi atlet-atlet negara dengan kaedah moden dan canggih.
Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Sukan (SERC) juga menyambut baik cadangan kerajaan dalam pembangunan e-sukan di mana sebanyak RM13 juta diperuntukan untuk bidang ini dan RM12 juta kepada pembangunan sukan bagi orang kurang upaya (OKU).
Kami melihat peruntukan ini bakal membuka ruang kepada penyelidikan berkaitan e-sukan terutama isu ergonomik dan keselesaan pengamal sukan itu agar prestasi mereka dapat dipertingkatkan.
Selain itu, pelbagai kajian terutama dalam membangunkan produk untuk sukan OKU boleh dijadikan satu bidang (niche) kepada penyelidik-penyelidik dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan sukan.
Contohnya, SERC berjaya membangunkan throwing chair iaitu kerusi khas yang dibina untuk atlet paralimpik dalam acara-acara lontar cakera, lontar peluru dan baling lembing.
Kita berharap pembangunan produk seperti ini mampu membantu atlet negara untuk berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat dunia.
Bajet ini menggambarkan kesungguhan dan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia untuk kemajuan sukan negara.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NASHRUL FAZLI MOHD. NASIR
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)