Bimbang orang muda mengundi hentam kromo - Utusan Malaysia

Bimbang orang muda mengundi hentam kromo

ORANG muda perlu menjadi pengundi yang bijaksana dan penyelamat kepada ketidaktentuan politik negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENURUT laporan Utusan Malaysia pada 13 Oktober lalu, sejumlah 21.2 juta pengundi bertanggungjawab untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan senarai daftar pemilih yang dikemas kini pada 25 September lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5.7 juta pemilih adalah golongan muda yang didaftarkan selepas pindaan umur kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

Di tangan para pengundi inilah terletaknya tanggungjawab untuk memilih kerajaan stabil serta mampu memimpin negara ke arah pemulihan ekonomi termasuk mengharungi ketidaktentuan yang dijangka melanda dunia, tahun depan.

Justeru, nama-nama besar dan kecil menjadi tumpuan. Wakil rakyat pula sedang mencari tempat selamat untuk meneruskan kelangsungan politik dan menjadi Yang Berhormat (YB) sekali lagi.

Di pihak Barisan Nasional (BN), ia perlu memenangi PRU15 ini untuk membentuk kerajaan dan menentukan hala tuju negara.

Saya tidak mahu menyentuh tentang pengundi yang pernah mengundi tetapi yang dibimbangi ialah pengundi muda berumur 18 tahun yang pertama kali diberikan kuasa untuk memilih dan menentukan kerajaan baharu.

Persoalannya, adakah pengundi ini sudah membuat persediaan untuk memilih wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen secara wajar, bijaksana, bukan ikutan, tidak ikut emosi dan hentam kromo sahaja?

Yang penting, orang muda perlu menjadi pengundi bijaksana dan penyelamat kepada ketidaktentuan politik negara, penyelamat kepada ekonomi dan mengembalikan kegemilangan negara yang pernah kita kecapi dahulu.

Kuasa

Berikut ada beberapa situasi yang kemungkinan berada dalam pemikiran anak muda terutama yang baharu ke peti undi.

Antaranya rasa teruja, keliru untuk memilih wakil, suka memilih calon muda, masih memilih calon lama yang berpengalaman dan memilih calon pilihan ibu bapa mereka atau calon disukai oleh kawan mereka. Kemungkinan ini watak mereka dalam memilih wakil rakyat apabila ke pusat mengundi nanti.

Walaupun anak muda tiada pengalaman dalam memilih calon, diharapkan parti politik semasa berkempen nanti tidak kira kerajaan ataupun parti pembangkang, eloklah memberi panduan kepada pengundi muda supaya memilih wakil parti yang benar-benar ikhlas dan bukan menjadikan anak muda sebagai batu loncatan untuk mencapai kemenangan dalam PRU15 nanti.

Dengan umur yang dianggap mampu berfikir dengan matang, anak muda boleh membezakan kempen politik itu penuh dengan fakta ataupun hanyalah auta.

Janganlah mudah terpengaruh dengan janji sehebat bulan dan bintang serta pelbagai janji yang tidak masuk akal. Pilihlah calon yang difikirkan sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka dan segala perancangan dalam manifesto nanti boleh diterima.

Pengundi 18 nanti bukan sahaja dapat menambahkan bilangan individu yang mempunyai hak mengundi, tetapi kuasa yang diberikan oleh kerajaan sepatutnya digunakan dengan bijaksana dan bukan sekadar boleh mengundi.

Kita tidak mahu kos duit rakyat yang memakan belanja RM1 bilion untuk PRU15 disia-siakan terutama oleh pengundi baharu dan muda ini. – UTUSAN

PENGUNDI LAMA
Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya