SAUDARA PENGARANG,
RAMAI orang menyifatkan bahasa Melayu sebagai bahasa mudah dipelajari. Hal demikian kerana bahasa Melayu tidak mempunyai perubahan perkataan mengikut bilangan, jantina dan tiada tatabahasa waktu perbuatan.
Bagaimanapun, rata-rata orang tidak sedar penggunaan kata ganti nama diri dalam bahasa Melayu boleh menjadi rumit dan kerap berlaku kesilapan akibat diguna secara salah atau kurang tepat.
Kata ganti nama diri terbahagi kepada dua iaitu kata ganti nama diri tanya dan kata ganti nama diri orang. Yang pertama adalah seperti siapa, apa dan mana manakala yang kedua adalah seperti saya, kamu dan dia.
Di dalam bahasa Inggeris, terdapat enam kata ganti nama diri orang, bahasa Perancis (lapan), bahasa Itali (tujuh) dan bahasa Sepanyol (11).
Bahasa Melayu mempunyai lebih daripada 15 kata ganti nama diri orang jika mengambil kira kesemua laras dalam bahasa ini. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak sama seperti penggunaannya yang sebenar.
Realitinya, kebanyakan penutur bahasa Melayu di Malaysia lebih banyak menggunakan kata ganti nama diri bahasa pasar. Sebagai contoh, kita orang dan dia orang.
Situasi itu sudah tentu akan merumitkan para penuntut asing yang ingin memulakan pembelajaran bahasa Melayu. Ini kerana, apa yang mereka pelajari di dalam kelas tidak selari dengan realiti yang mereka hadapi di luar bilik darjah.
Sebagai contoh, seorang pelajar asing telah diajar bahawa kamu ialah kata ganti nama diri orang kedua. Namun, apabila berada di sebuah restoran di Malaysia, pelajar tersebut ditanya oleh pelayan restoran dengan ujaran berikut: “Abang mahu makan apa?”
Dalam situasi seperti ini, hanya gaya badan dan tanda saran mengikut konteks sahaja yang membolehkan pelajar tersebut memahami ujaran tersebut. – UTUSAN
FAZEERA JAAFAR & MUHAMMAD USAMAH MOHD. RIDZUAN
Tenaga pengajar program bahasa