SAUDARA PENGARANG,
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Husaini Omar baru-baru ini mendedahkan 20,732 calon atau 17 peratus daripada 115,477 pemohon gagal mendapat tawaran kali pertama ke universiti awam yang diumumkan pada 25 September lalu.
Data menunjukkan sekurang-kurangnya tiga kali ganda jumlah permohonan diterima untuk memasuki universiti awam berbanding penawaran tempat.
Permohonan sesetengah calon juga ditolak kerana pelbagai sebab termasuk gagal sesi temu duga dan mendapat merit (sifat atau perbuatan yang layak mendapat penghargaan) yang rendah. Laporan tersebut membuka mata belia bahawa kejayaan dalam bidang akademik semata-mata tidak akan menjamin tempat di universiti awam.
Belia pada masa kini perlu cemerlang dalam bidang akademik serta mempunyai merit yang tinggi. Merit tersebut boleh diperoleh daripada aktiviti di luar kelas. Justeru, golongan muda perlu melibatkan diri bersama pertubuhan belia untuk membantu meningkatkan jumlah merit.
Penglibatan orang muda bersama pertubuhan belia mampu menambah pengalaman dan sijil yang diperlukan untuk meningkatkan tahap merit. Pengalaman itu juga bakal memberi nilai tambah yang berbeza jika dibandingkan dengan calon lain.
Sesetengah golongan muda mungkin tidak mempunyai kebolehan dalam sukan, namun mereka dapat mengembangkan bakat diri dalam bidang kepimpinan atau kesukarelawanan bersama pertubuhan belia.
Dalam pada itu, kegagalan menempatkan diri di universiti awam bukan tanda kegagalan hidup belia. Kegagalan sebenar adalah apabila kita berhenti untuk memajukan diri dan hanya pasrah menerima nasib. – UTUSAN
MOHD. FAUZI FADZIL
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Belia Malaysia