SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN negara sedang dalam fasa endemik dan kembali ke kehidupan normal, namun ramai lagi yang masih terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
Ada yang diberhentikan kerja, ada yang memilih skim pemisahan pekerjaan sukarela (VSS) dan sebagainya. Mereka ini memerlukan sokongan kewangan yang kuat untuk meneruskan hidup.
Mungkin ada dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri dengan pendapatan kurang berbanding ketika makan gaji. Bebanan kewangan semakin dirasai dengan kenaikan harga bagi semua sektor barang keperluan serta kos persekolahan atau pengajian anak di peringkat universiti. Itu belum termasuk kos rawatan ke klinik atau hospital.
Jadi, sekiranya kerajaan membenarkan sekali lagi pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khusus untuk ahlinya yang tidak aktif, ia akan memberi manfaat kepada mereka meneruskan kelangsungan hidup (menggunakan sebahagian atau keseluruhan simpanan KWSP) bagi tujuan tertentu.
Wang KWSP adalah hak milik pencarum dan sepatutnya ahli tidak aktif dibenarkan membuat pengeluaran wang bagi membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung.-UTUSAN
AHLI KWSP TIDAK AKTIF
Kuala Nerang, Kedah