SAUDARA PENGARANG,
PENGGUNA boleh menjimatkan penggunaan elektrik sekiranya mengetahui cara-cara menggunakan peranti komunikasi dengan baik. Selain itu, ia mampu memanjangkan jangka hayat sesebuah gajet selain dapat mengurangkan risiko kebakaran untuk menjamin keselamatan keluarga.
Ikuti tips ini agar dapat mengelakkan pembaziran tenaga dan wang:
-Jangan guna telefon bimbit semasa dicas
Menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas, lebih-lebih lagi dengan alat pengecas tidak tulen, boleh membahayakan pengguna ekoran renjatan yang terhasil daripada kebocoran elektrik pengecas tersebut.
-Gunakan penyaman udara dengan bijak
Gunakan penyaman udara ketika cuaca benar-benar panas sahaja. Seboleh-bolehnya gunakanlah kipas di rumah kerana ia lebih menjimatkan. Elak daripada melaraskan suhu di tahap terendah. Ini kerana setiap satu darjah Celcius penurunan suhu meningkatkan 10 peratus penggunaan elektrik.
-Penggunaan komputer secara berhemat
Mematikan komputer selepas digunakan dan berhenti mengecas komputer riba selepas bateri penuh. Pastikan suis dimatikan selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas.
-Turunkan kecerahan skrin televisyen
Menggunakan televisyen adalah salah satu aktiviti yang sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Bagaimanapun, pengguna sering mempunyai tabiat menjadikan bil elektrik bulanan meningkat dengan ketara. Oleh itu, menurunkan kecerahan skrin dapat menjimatkan tenaga selain menghidupkan mod penjimatan kuasa.
Televisyen terkini dilengkapi dengan mod penjimatan kuasa. Fungsi ini akan mengurangkan kecerahan layar, menyesuaikan kontras dan tingkat suara untuk mengurangkan penggunaan tenaga. Anda harus menggunakan ciri ini ketika cahaya rendah atau setelah mematikan semua lampu untuk memastikan tontonan televisyen berada di tahap terbaik.
Jangan lupa untuk mematikan televisyen semasa tidak digunakan. Jangan sesekali mematikan televisyen melalui alat kawalan jauh kerana pada masa ini televisyen akan beralih ke mod siap sedia walaupun tidak lagi digunakan, tetapi terus ‘menghirup’ elektrik.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan
Pengguna Negeri Sembilan