Banyak perbezaan antara vape, rokok - Utusan Malaysia

Banyak perbezaan antara vape, rokok

kesihatan
Kementerian Kesihatan harus memberi perhatian kepada isu-isu semasa yang menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan negara terlebih dahulu dan bukannya melaksanakan sesuatu yang mendapat tentangan seperi GEG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 27 Julai lalu dibentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen yang mencadangkan pelaksanaan dasar generasi penamat (GEG) bagi melarang individu dilahirkan selepas 2007 untuk memiliki, membeli mahupun merokok termasuk penggunaan rokok elektronik (vape).

Langkah memasukkan vape dalam RUU ini membuktikan ramai terkeliru dengan kedua-duanya. Bagi bukan perokok, ia mungkin sama tetapi untuk seorang perokok, menghisap vape jauh berbeza dengan menghisap rokok. Kekeliruan ini patut diperjelaskan oleh pihak yang berkenaan dan orang ramai juga patut lebih jelas tentang perbezaannya.

Menghisap vape adalah aktiviti menyedut dan menghembus wap atau aerosol (butiran pepejal yang terdapat di udara) melalui proses pemanasan. Digunakan peranti berkuasa bateri dengan bahan asasnya diperbuat daripada produk tembakau, cecair nikotin, cecair bukan nikotin atau gel berperisa.

Merokok pula bermaksud menyedut dan menghembus asap yang terhasil daripada pembakaran produk tembakau.Para penyelidik berpendapat kedua-dua kaedah ini memberi kesan yang amat berbeza kepada seseorang walaupun mereka menggunakan produk tembakau dalam vape.

Persoalan yang lazim timbul, adakah penggunaan vape membahayakan kesihatan atau ia benar-benar dapat membantu mereka yang ingin meninggalkan tabiat merokok?

Isu ini masih menjadi perdebatan antara ahli sains dan pakar perubatan tetapi beberapa kajian menunjukkan kesan positif tabiat menghisap vape berbanding merokok.

Pengarah Unit Kajian Kebergantungan Tembakau dari Barts Aad The London School of Medicine and Dentistry, United Kingdom, Profesor Peter Hajek pernah berkata, menghisap vape adalah 95 peratus lebih selamat daripada merokok.

Beracun

Menurutnya, penghisap vape tidak terdedah kepada tahap bahan kimia formaldehid (gas beracun) yang membahayakan dan perokok perlu digalakkan untuk beralih kepada menghisap vape.

Dalam satu kajian oleh pakar kardiologi dari Greece, Dr. Konstantinos Farsalinos, beliau mendapati formaldehid yang dibebaskan menerusi aktiviti menghisap vape jauh lebih rendah berbanding menghisap rokok tembakau.

Kajian yang diterbitkan di jurnal perubatan dari Amerika Syarikat, Jama Network Open mendapati menghisap vape secara kerap adalah lapan kali ganda lebih berkemungkinan untuk berhenti merokok sama sekali.

Bagaimanapun, kita patut sedar bahawa apa jua bahan jika diambil berlebihan akan memudaratkan, sama seperti gula, garam dan minyak masak. Kajian jelas menunjukkan alternatif kepada tembakau seperti vape dan produk tembakau yang dipanaskan adalah kurang berbahaya dan ia satu cara pengurangan bahaya tembakau.

Membuang tabiat merokok khususnya dalam kalangan perokok tegar tidak semudah menekan suis. Kita memerlukan satu cara paling realistik dan menghisap vape boleh memainkan peranan penting.

Saya juga berpendapat, pihak berkuasa patut mengetahui dengan jelas perbezaan antara menghisap vape dan merokok serta mengakui peranan yang boleh dimainkan oleh vape.

Kita harus realistik dalam isu ini dan jangan sekadar mahu mengharamkan semua hanya kerana sesetengah orang berkepentingan. – UTUSAN

AHMAD SAMSURI NORDIN
Kubang Kerian, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya