SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT kajian di peringkat antarabangsa yang membangkitkan isu kewujudan generasi yang hilang bakal mewarisi masa depan kita.
Statistik Jabatan Perangkaan pada 31 Julai lalu menunjukkan 70 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak berminat untuk menyambung pelajaran. Kaji selidik ini dibuat ketika negara terjejas teruk dari segi ekonomi semasa pandemik Covid-19.
Kekangan kewangan, kerisauan terhadap ketiadaan peluang pekerjaan selepas pengajian, mentaliti pendidikan tidak menjamin masa depan dan gaji tidak setimpal dengan masa dan kelayakan adalah antara punca utama generasi muda tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Melihat kepada trend membimbangkan ini, sudah tiba masanya kerajaan melalui agensi dan kementerian terbabit lebih agresif membantu generasi hilang ini agar lebih yakin untuk menyambung pengajian.
Antaranya memperbanyakkan program bersifat praktikal dan mempunyai nilai tambah kepada peluang pekerjaan sedia ada. Ia juga haruslah bersifat fleksibel melibatkan belia yang mahu bekerja sambil belajar dapat menguruskan masa dengan lebih efisien tanpa mengganggu tugasan di tempat kerja.
Kerajaan juga boleh menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan untuk menawarkan kursus jangka pendek dan kemahiran percuma secara dalam talian sebagai alternatif kepada pengajian secara fizikal.
Syarikat-syarikat yang bersetuju untuk menyertai program bersifat kebajikan harus diberi pelepasan cukai atau insentif bersesuaian.
Kerajaan juga perlu melancarkan kempen kesedaran akan kepentingan menimba ilmu hingga ke menara gading dengan melibatkan golongan profesional sebagai ikon belia. Ikon belia ini diharap dapat mengubah persepsi dan mentaliti generasi muda yang menganggap pendidikan tidak lagi menjamin masa depan.
Proses permohonan bantuan pendidikan kepada golongan B40 perlu dipermudahkan untuk mengurangkan karenah birokrasi.
Mentaliti yang tidak mementingkan pendidikan harus dibendung lebih awal agar negara tidak kehilangan aset dan tenaga kerja berkemahiran pada masa akan datang. Ia sekali gus menyebabkan produktiviti, inovasi dan daya saing tenaga mahir bakal menjunam dan memberi risiko kepada kualiti hidup masyarakat.
Sebagai masyarakat, kita juga harus tidak cepat dan sewenang-wenangnya menghukum generasi muda ini kerana mereka juga bergelut dengan desakan kehidupan yang meruncing. -UTUSAN
SYAFARIZA JAMAL
Ketua Penerangan Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)