Zakat penting ketika ekonomi dunia gawat - Utusan Malaysia

Zakat penting ketika ekonomi dunia gawat

KUTIPAN zakat perlu ditingkatkan dengan tumpuan kepada kaedah pembayaran digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA pelbagai pihak memperkatakan tentang kegawatan ekonomi dunia pada tahun hadapan, kita tidak seharusnya melupakan peranan penting zakat bagi merancakkan kembali aktiviti dagang.

Permintaan dalam negara terhadap barangan dan perkhidmatan dapat ditingkatkan dengan mewujudkan kuasa beli golongan asnaf melalui agihan zakat.

Lapan asnaf atau golongan yang berhak menerima zakat ialah fakir, miskin, amil, mualaf, riqab (seseorang yang terbelenggu), gharimin (orang Islam yang berhutang), fisabilillah (aktiviti menegak agama Allah) dan ibnu sabil (putus bekalan dalam perjalanan).

Peningkatan kuasa beli yang dimiliki asnaf berkemampuan merangsang perkembangan ekonomi melalui kewujudan kesan rantaian terhadap kepelbagaian sektor ekonomi lain.

Selain itu, aktiviti keusahawanan dapat dijalankan bagi asnaf yang terpilih dan berpotensi. Penjanaan pendapatan turut dapat dilakukan dengan lebih baik melalui bantuan yang disalurkan.

Oleh itu, kutipan zakat perlu ditingkatkan dengan tumpuan kepada kaedah pembayaran digital bagi membolehkan pembayar zakat melaksanakan kewajipan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Sebenarnya, kutipan zakat masih boleh ditingkatkan pada masa akan datang berikutan ramai yang layak membayar zakat masih belum melaksanakan kewajipan tersebut. Selain tidak peka dengan kewajipan melaksanakan ibadah tersebut, sebahagiannya kurang arif dalam menentukan kelayakan menjadi pembayar zakat.

Pelbagai usaha perlu dijalankan bagi memastikan pengurusan kutipan dan agihan zakat dapat dikendalikan dengan baik. Penyediaan modal insan dalam kewangan Islam adalah penting bagi memenuhi keperluan kepakaran dalam bidang tersebut.

Selain itu, pelbagai kaedah melaksanakan pembayaran zakat perlu dihebahkan supaya masyarakat sedar bahawa mereka mempunyai banyak pilihan untuk mengeluarkan zakat. – UTUSAN

DR. FATIMAH SALWA ABD. HADI, Tanjung Malim, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya