Wujud penurunan minat pelajar sekolah pada STEM - Utusan Malaysia

Wujud penurunan minat pelajar sekolah pada STEM

PELAJAR sekolah didedahkan cara-cara mengendalikan robot bagi menarik minat mereka meminati bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). – IHSAN UMT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA meletakkan sasaran untuk berada dalam kalangan 20 negara teratas di dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang 2050.

Untuk menuju ke arah itu, kita memerlukan perubahan besar, kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan serta berjiwa besar. Antara cara mencapai matlamat itu adalah dengan memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat sekolah lagi.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meramal kepentingan STEM sejak lebih lima tahun lalu apabila mewujudkan Pusat Asasi STEM UMT. Ia adalah pusat asasi pertama seumpamanya ditubuhkan di negara ini. Diluluskan penubuhannya pada 2017 oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi menerima kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Di peringkat universiti, kita mula mengesan pola penurunan permintaan pelajar bagi program berasaskan sains dan teknologi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Wujud kegusaran fenomena ini akan memberi implikasi kepada tenaga kerja pakar, malah menggagalkan usaha mencapai status negara maju.

Gerak kerja mula dijalankan sebagai pelan kontingensi dalam menghadapi situasi minat yang pudar berkenaan. Antara projek khas pembangunan generasi pelapis giat dijalankan adalah program penggalakan bidang STEM yang dipertanggungjawabkan kepada universiti awam.

Matlamatnya adalah melahirkan murid celik STEM yang berupaya mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif.

Mahir

Ini dilakukan melalui pembelajaran bersepadu STEM yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan amali serta penerokaan terbuka.

Banyak usaha dilaksanakan dalam pendidikan STEM dengan sokongan daripada pelbagai kementerian. Penubuhan pusat asasi ini mula menampakkan impak positif dalam usaha penerapan budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar.

Kesungguhan meningkatkan penyertaan golongan muda dalam bidang sains yang diusahakan oleh pensyarah UMT nampaknya semakin menunjukkan kejayaan.

Antara kaedah mempromosikan keunikan bidang STEM adalah dengan mengadakan program-program berkaitan sains yang unik serta mudah difahami kepada pelajar sekolah sekitar Terengganu.

Program seperti ini amat penting sebagai usaha melahirkan ramai pelajar yang berbakat besar dalam bidang STEM bagi menyokong hasrat kerajaan untuk menyediakan tenaga mahir dalam pembangunan negara mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Pelbagai siri penganjuran program seperti itu berjaya meningkatkan tahap kesedaran kepentingan bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru.

Hasrat bagi mewujudkan generasi pelapis yang berupaya memacu negara ke arah negara maju memerlukan komitmen di segenap lapisan masyarakat.

Kesedaran dalam diri pemimpin negara, pemimpin tempatan, komuniti serta ibu bapa amat penting sebagai galakan dan dorongan kepada generasi pelapis meminati bidang STEM seawal bangku sekolah rendah dalam melahirkan lebih ramai pakar dan pencipta teknologi negara. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. LAILI CHE ROSE
Pengarah Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya