SAUDARA PENGARANG,
TANGGAL 8 September lalu, dunia dikejutkan dengan kemangkatan pemerintah monarki paling lama dalam sejarah England, Ratu Elizabeth II pada usia 96 tahun setelah memegang takhta selama tujuh dekad.
Sejurus selepas itu, putera sulung baginda, Putera Charles akhirnya ditabalkan sebagai Raja England yang baharu dengan menggunakan gelaran Raja Charles III sekali gus meneruskan kesinambungan kegemilangan pemerintahan beraja di negara tersebut.
Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi pengetahuan tentang keunikan sistem beraja yang diamalkan di Malaysia berbanding di England berpandukan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Keunikan sistem beraja di negara ini ialah Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem raja silih berganti bagi memilih Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Sistem monarki yang diimplementasikan di negeri-negeri pula ialah sistem raja pewarisan takhta di mana putera sulung seseorang sultan atau raja akan ditabalkan sebagai pemerintah seterusnya setelah kemangkatan ayahanda baginda.
Sistem raja silih berganti ini dilaksanakan apabila sembilan orang raja-raja Melayu akan bermesyuarat dan memilih seorang sultan atau raja dalam kalangan baginda untuk ditabalkan sebagai YDPA.
Hal tersebut selari dengan Perkara 38(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu untuk memilih YDPA dan Timbalan YDPA.
Tambahan lagi, untuk memastikan kelancaran proses pelantikan YDPA, sistem kekananan turut diamalkan di mana urutan bagi setiap sultan atau raja yang bakal ditabalkan sebagai YDPA telah ditetapkan.
Sistem kekananan bermula daripada Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Selangor, Raja Perlis, Sultan Terengganu, Sultan Kedah, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Johor dan diakhiri oleh Sultan Perak.
Setiap YDPA akan memegang jawatan sebagai Ketua Negara selama lima tahun bagi setiap penggal sebelum beralih kepada sultan dan raja dari negeri lain berdasarkan urutan dalam sistem kekananan.
Seseorang YDPA juga berperanan sebagai Ketua Utama untuk badan perundangan, eksekutif dan kehakiman. Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah menghormati dan memartabatkan institusi beraja yang telah berakar umbi sejak Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-16 lagi.
Jati diri dan semangat patriotik yang telah dipupuk selama ini harus bergerak seiring dengan Prinsip Kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara supaya kedaulatan dan kebebasan negara ini terus berkekalan sepanjang zaman. – UTUSAN
MUHAMMAD AIMAN FIRDAUS KAMAL NOR AZMAN, Tasek Gelugor, Pulau Pinang