SAUDARA PENGARANG,
SAYA setuju dengan pandangan dan kebimbangan beberapa pihak yang menganggap negara akan menghadapi masalah besar sekiranya ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak meneruskan pengajian di peringkat tinggi.
Salah satu alasan mereka kerana yuran pengajian terlalu tinggi. Jadi, Kementerian Pengajian Tinggi ataupun institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) patut mengambil kira dan sekiranya perlu mengkaji semula bebanan kos setiap pengajian mengikut semester. Kadar yuran yang tinggi hanya membebankan dan memberikan tekanan kepada waris pelajar. Ini kerana mereka akan beranggapan tidak berbaloi jika pelaburan dibuat akhirnya sekadar ditinggalkan menjadi kenangan buat anak-anak.
Situasi hari ini sudah jauh berubah apabila universiti dan kolej berlumba-lumba dan bersaing menawarkan tempat belajar berbanding ketika masa lalu yang mana pelajar akan memastikan mereka layak diberi peluang untuk masuk belajar ke universiti.
Memburukkan lagi keadaan apabila ekonomi negara berada di tahap paling kritikal yang sudah tentu akan menghadkan pengambilan tenaga sumber manusia. Jadi peluang juga semakin nipis.
Oleh itu, usahlah pihak-pihak tertentu terus menyalahkan mereka yang tidak mahu menyambung pengajian selepas tamat SPM. Mereka mungkin mempunyai alasan tersendiri walaupun menyedari keputusan yang diambil itu berisiko besar buat dirinya namun dalam masa sama mereka melihat sendiri bagaimana graduan terpaksa menganggur di luar sana kerana masih belum memiliki pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan pendidikan mereka.
Justeru, sebaik-baiknya pihak berkenaan mencari kata sepakat agar yuran setiap semester di institusi pengajian awam (IPTA) dikurangkan bagi membolehkan hasrat kerajaan memastikan semua pelajar lepasan SPM yang layak berminat menyambung pengajian tercsapai.-UTUSAN
TOK WALI SONGEI
Bayan Mutiara