SAUDARA PENGARANG,
ISU peluang pekerjaan yang terhad menimpa graduan bukan perkara baharu kerana ia wujud sejak 20 tahun lalu. Ia berpunca daripada ekonomi negara lebih banyak mencipta peluang pekerjaan kategori separa mahir dan tidak mahir berbanding kategori mahir iaitu pekerjaan lebih sesuai dengan kelayakan graduan.
Sebab itu kita sering mendengar keluhan jumlah graduan dilahirkan institusi pengajian tinggi (IPT) melebihi keperluan tenaga kerja.
Sebenarnya isu ini tidak harus lagi timbul kerana sejak dilanda pandemik Covid-19, IPT telah memberi tumpuan bagi memantapkan kemahiran keusahawan digital dalam kalangan siswazah.
Usahawan digital diberi naratif sebagai kalis Covid-19 kerana digitalisasi itu sendiri bersifat global, merentasi dunia tanpa sempadan dengan meminimumkan urusan fizikal.
Oleh kerana itulah, kita dapat lihat syarikat-syarikat berpaksikan produk digital masih mampu bertahan bahkan mencatatkan keuntungan berganda di musim pandemik.
Para graduan perlu akur jumlah peluang pekerjaan yang berkurangan akibat pandemik mengambil masa untuk pulih berikutan makluman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa Covid-19 tidak akan hilang sepenuhnya dalam masa terdekat.
Solusi yang mampan adalah dengan menganjak minda pelajar IPT daripada bermatlamatkan pencari kerja kepada pencipta pekerjaan apabila mereka menamatkan pengajian dengan menjadi usahawan digital.
Saya mengambil contoh kisah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Arham Syafiq Azmi yang menerima anugerah 100 Top Young CEO 2020.
Simbiosis
Dia yang menamatkan pengajian pada 2013 meninggalkan bidang kejuruteraan untuk menceburi perniagaan dengan giat beradaptasi pendekatan digitalisasi.
Saya kira kita juga kenal Syahmi Sazli yang membina empayar perniagaannya melalui YouTube. Dia merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Ada ramai lagi graduan yang berjaya membentuk simbiosis perniagaan mereka dengan digitalisasi.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sedang berusaha untuk melahirkan lebih ramai graduan menjadi usahawan digital melalui Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021-2025.
Ia adalah naratif baharu kepada program-program pembangunan keusahawanan di IPT. Pelan itu memfokuskan kepada tiga teras strategi iaitu memantapkan ekosistem keusahawanan bersinergi dan holistik, memperkasakan jaringan keusahawanan berimpak tinggi dan menekankan kepada keusahawanan berteraskan inovasi dan teknologi.
Sebanyak RM100 juta juga dilaburkan kerajaan untuk melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara-Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (Penjana KPT-CAP) sebagai usaha menangani isu kekurangan peluang pekerjaan dalam kalangan graduan.
Bagi menyedarkan mahasiswa tentang peluang ditawarkan melalui keusahawan digital, tanggungjawab tidak hanya perlu diletakkan kepada KPT. Ia adalah tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta masyarakat untuk membawa naratif kesedaran digitalisasi ini. – UTUSAN
MOHD. KHAIRUL NIZAM SUHAIMIN, Pegawai Penyelidik Dewan Undangan Negeri Terengganu