SAUDARA PENGARANG,
Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibacakan pertama kali baru-baru ini di Dewan Rakyat bertujuan untuk mewujudkan satu akta yang mempunyai peruntukan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap produk tembakau dan merokok.
Ia bagi membolehkan semua saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia Rangka Kerja Kawalan Tembakau (WHO FCTC) dilaksanakan menerusi kaedah perundangan.
Ini termasuk aspek yang menyentuh kandungan, pendedahan serta pengiklanan produk rokok secara tidak langsung di media massa seperti drama dan filem. Ia juga berkaitan larangan merokok di tempat awam.
RUU terbaharu ini penting kerana Malaysia tidak mampu mencapai misi untuk menurunkan tabiat merokok yang telah tersebar luas kepada kurang daripada lima peratus daripada 22.8 peratus penduduk menjelang 2045 jika saranan WHO FCTC tidak dilaksanakan.
Pada 7 April lalu, buat pertama kalinya, RUU ini dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen. Antara tanggungjawab jawatankuasa ini adalah untuk mencadang penambahbaikan terhadap RUU terbabit.
Jawatankuasa melihat perkara ini sebagai satu isu yang melibatkan pelbagai pemegang taruh. Maka, sebanyak tiga sesi mesyuarat diadakan dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi kerajaan, persatuan dan pengamal perubatan.
Laporan mesyuarat yang dibentangkan pada 27 Julai lalu oleh Pengerusinya, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, mencadangkan agar kerajaan membuat kajian secara mendalam dari aspek teknologi dan sains.
Perlu dirujuk data baharu dan tinjauan serta kajian perbandingan negara-negara yang mempunyai perundangan khusus berkaitan kawalan tembakau dan produk-produk merokok yang tidak menggunakan tembakau.
RUU ini merupakan pengubah keadaan kepada landskap perubatan negara. Oleh itu, kerajaan perlu meneliti setiap aspek seperti kesan terhadap sosial dan ekonomi negara. – UTUSAN
NURRUL SAFFIDA KUSAINI & MAS LIZA MASLAN, Pegawai Penyelidik Parlimen