Rakyat kita dijual beli macam hamba - Utusan Malaysia

Rakyat kita dijual beli macam hamba

HISHAMUDDIN Hashim (tiga dari kiri) bersama wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendengar rintihan keluarga mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MESYUARAT Kabinet pada Rabu lalu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bagi menangani kes-kes sindiket penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Sehingga Rabu lalu, seramai 168 mangsa diselamatkan dan pulang ke tanah air manakala 34 orang lagi berada di depoh tahanan imigresen negara terbabit serta baki 99 individu yang dilaporkan waris masih gagal ditemukan.

Wisma Putra dan ketua-ketua kerajaan negara terbabit perlu bertindak pantas bagi menyelamatkan mangsa kerana sindiket ini bukan sahaja melibatkan penipuan pekerjaan sebaliknya sudah mula berubah ke arah lebih kejam termasuk membuat ugutan hendak menjual organ.

Ada yang mendakwa mangsa bekerja secara sukarela. Saya ingin bertanya, kalau mangsa dikurung dan dipaksa bekerja menipu secara dalam talian, adakah itu sukarela?

Dahulu ada yang dihukum berlari dan berdiri serta tidak boleh duduk apabila gagal mencapai sasaran mangsa yang harus ditipu. Sekarang saya menerima laporan sudah ada pukulan, sebatan dan terdapat kes dikenakan renjatan elektrik.

Ada mangsa wanita diugut untuk dijadikan pelacur dan dengan bermacam-macam ancaman lain yang semakin hari semakin bertambah kezaliman sehingga mangsa terpaksa bekerja sebagai penipu dalam talian kerana ditakutkan.

Saya juga menerima laporan sindiket bertindak menjual orang-orang yang berada dalam senarai nama polis tempatan untuk diselamatkan kepada sindiket kedua. Ini masalahnya, ia jadi bertingkat-tingkat sehingga tiga empat sindiket sudah dijual.

ASEAN

Asal ada aduan sahaja kepada polis, bukan diselamatkan sebaliknya dijual kepada pihak ketiga. Masalahnya, wang yang dibayar sindiket kedua kepada sindiket pertama dianggap hutang yang perlu dilangsaikan oleh mangsa dengan cara dipaksa bekerja untuk menipu orang.

Kalau sudah dijual kepada terlalu banyak sindiket dan dianggap banyak berhutang, jika hendak pulang ke tanah air, mangsa perlu bayar balik mungkin hingga RM100,000. Bagi saya, ini adalah isu paling penting dan gila. Jual orang ini, saya ingat hanya berlaku pada zaman Rom dahulu.

Kita tidak boleh lambat bertindak sehingga berlaku kematian. Saya tidak tahu ada kematian atau tidak. Menurut maklumat di lapangan yang tidak disahkan lagi, ada dimaklumkan berlaku kematian. Itulah yang menjadi kebimbangan kita.

Antara platform yang boleh digunakan adalah ASEAN. Kita tahu Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen ialah Pengerusi ASEAN. Dalam tahun ini sahaja kita sudah ada mesyuarat di antara polis, tentera dan perdana menteri ASEAN yang bermesyuarat di negara itu.

Pemerdagangan manusia adalah isu yang begitu penting dan perlu dibincangkan di peringkat ASEAN. Kita tidak boleh menggunakannya hanya sekadar untuk berbincang mengenai hubungan dagangan semata-mata.

Selain itu, bantuan daripada kerajaan China adalah penting kerana dalang sindiket adalah dari republik tersebut. Penjenayah ini dikehendaki di negara asal dan telah melarikan diri.

Kebanyakan telah menukar kerakyatan menjadi warganegara tempatan. Sindiket ini juga menyasarkan penipuan etnik berketurunan Cina di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat dan Australia. – UTUSAN

DATUK HISHAMUDDIN HASHIM
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya